suria

Sumbang Mahram: Mekanik Dipenjara 26 Tahun, Enam Sebatan

PUTRAJAYA: Seorang mekanik dihukum penjara 26 tahun dan enam sebatan  oleh Mahkamah Khas bagi Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di sini, Selasa kerana melakukan sumbang mahram dan hubungan fizikal seksual dengan anak tiri perempuannya berusia 14 tahun.

Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman penjara 26 tahun serta tiga sebatan atas tuduhan  merogol gadis itu dan penjara lapan tahun dan tiga sebatan bagi tuduhan  kedua  melakukan  hubungan  fizikal seksual.

Beliau memerintahkan lelaki berusia 35 tahun itu menjalani hukuman penjara serentak mulai dari tarikh ia ditangkap pada 5 Ogos tahun ini.   Lelaki itu mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Sungai Buloh, Selangor pada 2 pagi 30 Julai tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali meminta supaya dikenakan hukuman lebih berat dengan menyatakan bahawa lelaki itu adalah bapa tiri gadis itu, yang sepatutnya menjaganya dan bukan mengambil kesempatan.

Terdahulu, lelaki itu merayu dikenakan hukuman lebih ringan dan menyatakan dia perlu menanggung  anak-anaknya yang masih kecil.-- Bernama 

Yong Zarida, sumbang mahram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan