KUALA LUMPUR: Semua pekerja warga asing yang berdaftar di negara ini wajib menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala mulai Januari depan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri berkata, peraturan terbaharu itu perlu dilaksanakan bagi menghalang penyebaran penyakit berjangkit di negara ini. Beliau menambah, warga asing terlibat perlu menjalani saringan kesihatan dalam masa 30 hari sebaik tiba di negara ini. "Saringan tambahan ini penting dan semua pekerja asing perlu menjalani saringan kesihatan yang lebih terperinci setiap dua tahun," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri. Perkara itu diputuskan ketika Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Berkaitan Pekerja Asing dan Imigran di sini, Khamis.