suria

Tiga Didakwa Hantar Komunikasi Jelik Terhadap PM

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dan seorang wanita  didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik terhadap perdana menteri melalui akaun Facebook mereka.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) ialah pegawai pengambilan pekerja Nor Sabariah Abdul Kadir, 29,  penjaga stor Ng Thai Quen, 19, dan Mazlan Yusoff, 48, yang bekerja sebagai penebar roti canai mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Zainal L Salleh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nor Sabariah  didakwa menggunakan nama profilnya  di laman Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 5.11 petang, 1 Februari 2017.

Ng juga dituduh melakukan kesalahan sama antara pukul 7 malam hingga 7 pagi, 15 Disember 2016 dan 16 Disember 2016.

Komen Nor Sabariah dibaca jam 9 pagi, pada 2 Feb lalu, manakala komen Ng pada 3 petang, 16 Disember 2016,  di Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini.

Sementara itu, Mazlan didakwa menggunakan nama 'Zain Al Aznam' di laman FBnya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 2.53 pagi, 11  November 2016.

Komennya dibaca pada  8.06 pagi, 14 November  tahun lalu, di Tingkat 2, Jalan Bandar 13, Taman Melawati, di sini.

Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Mohd Sophian Zakaria, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Sabariah yang diwakili peguam  Farida Mohammad, memohon dikenakan ikat jamin antara RM1,000 hingga RM2,000 dengan alasan dia menanggung ibu serta dua adik Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ng dan Mazlan yang tidak diwakili peguam, masing-masing turut memohon dikenakan jaminan rendah kerana tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga OKS, masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes.-- Bernama


PM, Facebook

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain