PETALING JAYA: Gara-gara video seekor anak tikus berkeliaran di bekas hidangan makanan di sebuah premis, pengusaha kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang diarah menutup operasi serta-merta. Notis perintah tutup itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Klang berkuatkuasa pukul 2 petang, Jumaat untuk tempoh dua minggu berakhir 1 September 2017. Menerusi rakaman berdurasi 33 saat itu, tikus tersebut dilihat mengambil secebis sayur dalam bekas hidangan lauk di premis itu. Tempoh notis tersebut berkuatkuasa dari 18 Ogos hingga 1 September ini. Menurut notis yang dikeluarkan, tindakan diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, kerana premis itu tidak bersih dan boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai. The Star melaporkan klip itu dipercayai dirakamkan dan disebarkan di media sosial oleh pekerja hospital yang tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan kantin. Pengarah HTAR Dr Ding Lay Ming ketika dihubungi berkata kantin itu telah diarahkan untuk ditutup. "Kami tidak pasti sama ada video itu diambil di kantin hospital kami atau sebaliknya, tetapi kami menggunakan peluang ini untuk mengarahkan supaya kantin ini menjalani pembersihan menyeluruh. "Kami akan memeriksa tempat ini sekali lagi dan jika kami berpuas hati dengan kebersihannya, ia akan dibenarkan dibuka dibuka semula petang ini," katanya. Dr Ding juga berkata sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Kesihatan untuk mengeluarkan arahan penutupan selama dua minggu apabila insiden seperti ini berlaku, tetapi premis dibenarkan beroperasi sebaik sahaja ia dibersihkan dengan betul. Ini bukan kali pertama kantin tersebut mengalami masalah tikus. Kantin yang sama sebelum ini ditutup selama dua minggu pada April 2015 kerana mempunyai tikus dan tidak bersih. Beberapa pesakit yang ditemuramah oleh The Star selepas insiden pada tahun 2015 berkata keseluruhan hospital itu penuh dengan tikus. Seorang daripadanya juga mendakwa dia telah digigit haiwan itu di salah sebuah wad.