RENTETAN isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik di dalam buku cenderamata Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), ada pihak cuba mengambil kesempatan mengapi-apikan hubungan serumpun Malaysia dan Indonesia. Lihat sahaja di media sosial, keyboard warrior mula muncul dengan pelbagai provokasi 'didendangkan'. Bukan setakat mencemuh, malah mereka sanggup menjatuhkan maruah negara lain. Bagaimanapun, perkara itu tidak sedikit pun meruntuhkan tembok persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia. Masih ramai dalam kalangan rakyat kedua-dua negara serumpun itu mengambil pendekatan berlapang dada dan berfikiran terbuka. Malah, Presiden Indonesia, Joko Widodo meminta rakyatnya supaya tidak memperbesarkan isu kesalahan mencetak bendera republik itu pada buku panduan KL2017. "Kita semua saudara," tulis Ismail Jr yang bersetuju dengan saranan itu. Katanya, seindah persahabatan dan persaudaraan, jangan ada dusta dan bermusuh. "Kita semua saudara, salam sejahtera...cinta damai, Indonesia-Malaysia," ujarnya di Facebook, disertakan dengan kapsyen gambar menunjukkan tentera kedua-dua negara penuh semangat persaudaraan di sempadan Indonesia-Malaysia. Ismali Mohd pula mengatakan, kedua-duanya negara Islam perlu bersama menjaga keamanan tanah bumi masing-masing. Katanya, jangan hancurkan tanah sendiri dengan kebencian, sehingga terbuka peluang kepada musuh-musuh yang sedang mengintai. "Jom main sukan lagi baik," tulisnya. Sementara itu, Mohammad Hafiz Ahmad berpendapat, sukan sepatutnya menyatukan, bukan sebaliknya. "Sukan menyatukan kita semua, saling hormat-menghormati jangan berterusan menyinggung perasaan sesama kita," katanya. Norhafiza Ismail pula berharap semua 'kawan-kawan Malaysia-Indonesia' terus menjadi sahabat baik. "Ayuh kita leraikan segera persengketaan ini, kita serumpun, terus maju jaya buat kedua buah negara," katanya. Terdahulu, mengulas isu itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia. Beliau berkata, kesilapan itu tidak disengajakan. - Sinar Harian