suria

Felda Tidak Akan Aniaya Peneroka

Shahrir (tiga, kiri) menyerahkan replika cek insentif khas peneroka negeri Johor kepada Samsudin (kanan) di Dewan Raya Felda Taib Andak, Kulai, pada Ahad.

KULAI: Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad menafikan khabar angin peneroka Felda perlu menyerahkan geran tanah jika mahu dapatkan insentif khas peneroka bernilai RM5,000.

Beliau berkata, berita itu sengaja disebar pihak tertentu semata-mata untuk kelirukan peneroka yang bersama Felda, selain terdesak kerana PRU14 makin hampir.

“Itulah saya kata mengarut. Mana ada kita buat seperti itu. Itu seperti mahu menganiaya.

“Tetapi yang menganiaya peneroka itu sebenarnya adalah puak yang datang masa dekat PRU dan buat cerita yang bukan-bukan.

“Mana ada peneroka perlu serah geran tanah mereka untuk dapatkan insentif ini. Ini tidak benar.

"Cerita ini tersebar di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi dan ia hanya hendak mengelirukan warga peneroka,” katanya pada Majlis Penyerahan Replika Cek Insentif Khas Peneroka Negeri Johor di Felda Taib Andak, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Peneroka Kebangsaan yang juga Ketua Peneroka Wilayah Johor Bahru, Samsudin Othman.

Pada majlis itu, 24,628 peneroka seluruh Johor layak menerima insentif yang keseluruhannya bernilai RM123.14 juta.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru meminta peneroka Felda supaya jangan percaya atau terpengaruh dengan cerita tidak benar.

“Yakin dengan Felda. Jika peneroka masih menjual hasil mereka menerusi Felda walaupun mengerjakan kebun sendiri, peneroka layak menerima insentif khas bernilai RM5,000.

“Insentif ini salah satu daripada enam insentif yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sambutan Hari Peneroka Felda 2017 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 23 Julai lalu," katanya.

Sementara itu katanya, beliau juga sedang dalam perbincangan dengan Lembaga Pengarah untuk beri insentif tunai kepada peneroka masih bersama Felda, walaupun  tidak mempunyai hutang sebagai menghargai mereka yang yakin dan percaya dengan pengurusan Felda.

“Saya cadang beri insentif tunai kepada peneroka yang setia menjual hasil kepada Felda biarpun telah selesaikan hutang,” katanya. - Sinar Harian

Felda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain