suria

Kempen World, Merdeka #QuranHour Ke Makkah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (dua, kiri), melancarkan kempen World #QuranHour Arafah, diiringi CEO Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah (kiri) dan Tan Sri Mohamad Apandi Ali (dua, kanan).

MAKKAH: Lebih 1,000 jemaah haji Malaysia dijangka membaca al-Quran selama satu jam pada Hari Wukuf di Arafah, bersempena dengan kempen World dan Merdeka #QuranHour, Khamis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata kempen itu adalah manifestasi kepada umat Islam untuk sentiasa berpegang kepada 3M iaitu membaca, memahami serta menghayati al-Quran dalam kehidupan mereka.

“Apa yang lebih istimewa, kempen bakal berlangsung di Arafah pada 9 Zulhijjah ini bersamaan dengan Hari Wukuf dan ulang tahun kemerdekaan negara ke-60,” katanya semasa melancarkan program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini, Ahad.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan beberapa Anggota Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Beliau berkata kempen berinteraksi dengan al-Quran melalui program berkenaan juga adalah simbolik dalam membina masyarakat penyayang, prihatin serta berbudi.

“Kempen ini cukup baik dalam kita berdepan dengan terlalu banyak perkara negatif terutamanya dalam media sosial yang dilambakkan dengan maklumat palsu, tohmahan dan fitnah yang hanya menyemarakkan kebencian, perbalahan dan perpecahan.

“Maka, kita perlu mengembalikan umat Islam kepada prinsip-prinsip yang terdapat dalam al-Quran kerana Islam itu sentiasa mengajak kita kepada nilai penyayang, budi bahasa dan ia perlu disemarakkan dalam masyarakat kita,” katanya.

Malah, Asyraf Wajdi berkata sekiranya nilai murni itu dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia, ia sekali gus dapat menjadi asas utama bagi membina kekuatan negara yang semakin hari semakin dilonggarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan dalam kempen World dan Merdeka #QuranHour itu adalah untuk semua rakyat Malaysia, serta disambut di seluruh dunia.

-- Bernama
#QuranHour, Makkah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain