suria

Dua Didakwa Tipu Invois Program 1Malaysia

KUANTAN: Dua kakitangan Jabatan Penerangan Pahang hari ini mengaku tidak  bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan membuat empat tuntutan palsu berhubung penyediaan juadah Program Penghayatan 1Malaysia di Cameron Highlands berjumlah RM1,950, tiga tahun lalu.

Samsuri Mamat, 41, yang merupakan Penolong Pegawai Penerangan dan Zuraini Uda, 35, selaku Penolong Penerangan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan empat kesalahan itu sekitar Ogos dan November 2014 di Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands menggunakan invois bertarikh antara 11 Ogos hingga 7 November 2014 berjumlah antara RM400 dan RM750 setiap satu.

Kesalahan itu melibatkan penyediaan juadah Program 'Penghayatan 1Malaysia: Santai Minda (Perhimpunan Sivik)' di Kampung Pangen pada 22 Julai 2014, Kampung Telanok (12 Oktober 2014) dan Kampung Rening (18 Oktober 2014) serta 'Penghayatan 1Malaysia: Pencernaan Minda (Perhimpunan Sivik) di Kampung Sungai Chohong (24 Oktober 2014).

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Samsuri yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan merayu supaya jaminan RM20,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kerana terpaksa berulang alik dari Kelantan ke Pahang selepas ditugaskan ke sana.

"Isteri saya bekerja di Pahang. Saya juga menggunakan gaji saya sebanyak RM2,500 sebulan untuk menanggung ibu bapa yang sudah uzur. Saya mohon jasa baik hakim untuk kurangkan jaminan kepada jumlah yang paling minimum," katanya.

Sementara itu, Zuraini yang beketurunan Orang Asli dan beralamat di Kuala Lipis berkata pendapatan bersihnya hanya RM1,008 sebulan yang digunakan untuk menanggung ibu yang tua dan adik yang masih belajar.

"Saya juga ada dua pinjaman peribadi. Saya sudah lapan tahun bekerja. Saya duduk berjauhan dengan keluarga," katanya.

Habibah selepas mempertimbangkan rayuan itu membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang pejamin bagi setiap seorang tertuduh dan menetapkan sebutan semula pada 19 Sept depan.  Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry.  -- Bernama

1Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain