JOHOR BAHRU: Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir 20 minit untuk menyelamatkan seekor lembu betina yang terjatuh ke dalam sebuah perigi di Kampung Seberang Gajah, dekat Tangkak, Ahad. Kejadian berlaku kira-kira 2 petang itu disedari penduduk kampung yang melalui kawasan perigi tersebut sebelum ternampak seekor lembu terperangkap di dalamnya. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Pegawa Bomba Kanan II Malley Salim berkata penduduk kampung kemudian menghubungi bomba untuk meminta bantuan mengeluarkan lembu terbabit. Seramai lapan anggota bomba dan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.05 petang. "Lembu itu dianggarkan seberat 100 kg dan perigi pula sedalam dua meter. "Bagi menyelamatkannya, seorang anggota bomba terpaksa turun ke dalam perigi untuk mengikat badan lembu tersebut menggunakan tali jenis camental. Setelah itu, baru ia dibawa naik," katanya ketika dihubungi di sini Ahad. - BERNAMA