suria

Ketua Polis Negara Bersara Esok

KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar akan menamatkan perkhidmatannya secara rasmi sebagai Ketua Polis Negara pada satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan tertinggi dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu.

Khalid berkata persaraannya, yang dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya pada Selasa ini, diputuskannya sendiri.

"Ya, memang benar saya akan bersara esok... perancangan saya selepas ini adalah mengikuti kelas memasak di Malaysian Institute of Baking di Petaling Jaya," katanya.

Khalid akan diraikan pada majlis Perbarisan Khas sempena persaraan beliau di Padang Kawad, Pulapol yang dijadual pada 2.30 petang Isnin.

Khalid, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006) dan Ketua Polis Selangor (2007), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam  (2010) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2011).

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak. - BERNAMA

Khalid Abu Bakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KKM Terima Permohonan Maaf TISG

Artikel Lain