KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan di Sabah sedang mengawal ketat militan Abu Sayyaf yang cuba memasuki negeri itu. Mereka juga memeriksa sama ada terdapat mana-mana militan sudah berada di negeri itu susulan penahanan lapan suspek kumpulan tersebut di Kuala Lumpur pada ambang sambutan Hari Kebangsaan, Rabu lalu. Komander Kawasan keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata tiada ancaman atau laporan mengenai militan Abu Sayyaf memasuki negeri itu setakat ini. "Namun kami sentiasa waspada dan mengawal situasi," katanya. Beliau berkata lapan individu yang ditahan itu merupakan ahli sebuah kumpulan yang berjaya melarikan diri pada 2015 sebelum konflik di Marawi, selatan Filipina dan serangan tentera ke atas Abu Sayyaf di negara itu. Ditanya sama ada Esscom mengesyaki bahawa militan boleh tinggal di kalangan penduduk Sabah terutama di kawasan pantai timur atau penempatan setinggan, Hazani berkata mereka tiada maklumat mengenai perkara itu. "Bagaimanapun ini tidak bermakna kami tidak melakukan pemeriksaan. Kami tiada maklumat mengenai mereka berada dalam kalangan komuniti di sana tetapi kami akan sentiasa melakukan kawalan ketat," katanya kepada The Star. Lapan suspek termasuk pemimpin Abu Sayyaf, Hajar Abdul Mubin ditahan dalam satu operasi pada 30 Ogos lalu. Hajar yang turut dikenali sebagai Abu Asrie ditahan bersama seorang lagi rakyat Filipina, Abraham Embung, 29, dan enam rakyat Malaysia keturunan Filipina dari Sabah. Abu Asrie yang berusia 25 tahun dipercayai merupakan anggota Lucky 9, kumpulan penculikan untuk tebusan yang berpangkalan di Jolo, dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di hutan Jolo dan kepulauan Basilan di selatan Filipina. Kesemua rakyat Malaysia terbabit, berusia antara 20 dan 52 tahun, dipercayai dari Sandakan dan bekerja di Kuala Lumpur. Menurut sumber, antara suspek merupakan pengawal keselamatan dan anggota Rela.