suria

Pemandu BMW Biadab Dicari!

PETALING JAYA: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas ketika cuba mengelak daripada sebuah kereta mewah yang secara tiba-tiba memotong dari arah bertentangan.

Dalam satu rakaman video berdurasi 1 minit 4 saat, kereta mewah jenis BMW itu dilihat terus memecut laju untuk memotong lori yang berada di hadapannya tanpa menghiraukan kereta mangsa yang semakin hampir.

Akibatnya, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kenari terpaksa mengelak daripada dilanggar sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Selepas terbabas, kelihatan serpihan daripada kereta mangsa tercampak ke tengah jalan.

Dalam posting yang dimuat naik Nojahwati Sohani yang juga kakak kepada mangsa, dia mengesahkan adiknya yang hanya dikenali sebagai Daus terselamat tetapi mengalami trauma akibat kemalangan itu.

"Mujur adik Daus MonSterr selamat semalam. Pada kereta berkenaan, awak sangat biadab. Awak buat adik saya seinci dengan kematian," tulisnya di laman Facebook pada Ahad.

Menurut Nojahwati, kereta yang dinaiki adik bersama rakannya itu nyaris terjunam ke dalam gaung namun penghadang jalan menyelamatkan nyawa mereka.

"Mujur tak masuk gaung sebab berpusing-pusing kereta. Dia selamat pun sebab ada divider," tulisnya.

Nojahwati berkata dia bertindak memuat naik video tersebut untuk mengesan pemandu tidak bertanggungjawab itu.

"Jadi saya nak viralkan apa yang awak dah buat. Moga kalau awak nampak tadi,  awak sedar. Mana undang-undang yang awak pakai. Tak guna dapat lesen kalau macam ini cara pemanduan awak," tulisnya.

Difahamkan insiden pada petang Sabtu itu berlaku dekat Jalan Felda Ulu Penggeli Kluang, Johor.

Video tersebut tular di laman sosial dan mendapat 42,000 tontonan.

Rata-rata netizen meminta pihak berkuasa untuk memburu pemandu kereta mewah itu.

@Ajip Rtd berkata:"Buat laporan dan serah bukti rakaman pada pihak polis. Minta pihak polis jalankan siasatan...#kuasaviral."

@Mat Sam Hamid berkata:"Kalau korang nampak apa nombor plat BMW tu, kasi report."

@Akmarina AzreeNa berkata:"Semoga pemandu BMW tu dapat dikesan. Betul-betul pentingkan diri. Harap je kereta besar tapi otak kecil."

BMW, kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain