suria

24 Jam Kalau Mahu Bincang - ZurinJundi

Zurina (kanan) hanya mendiamkan diri pada sidang media yang diadakan apabila semua soalan dijawab peguamnya, Muhamad Akmal (tengah).

KLANG: Pemilik butik perancang perkahwinan, ZurinJundi yang menjadi tajuk utama berita panas minggu lalu akhirnya tampil meredakan suasana apabila lebih 100 bakal pengantin mendakwa ditipu pihaknya menjelang hari bersejarah mereka.

Selain memohon maaf dan memberi jaminan untuk menjelaskan ganti rugi, pemilik premis berkenaan, Zurina Ahmad Jundi juga mengakui pihaknya cuai dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Usahawan berusia 35 tahun yang dibebaskan selepas ditahan reman lima hari itu hadir pada sidang media khas pada Selasa petang, bagaimanapun peguamnya, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar menjawab soalan yang dikemukakan bagi pihaknya.

Sepanjang sidang media itu, Zurina sekadar mendiamkan diri dan duduk menyaksikan proses soal jawab antara media serta peguamnya.

"Kami meminta maaf di atas segala kesalahan yang tidak disengajakan dan berjanji untuk membayar ganti rugi untuk kes-kes kecuaian yang telah berlaku.

"Namun kami telah menyusun jadual pembayaran secara berkala kepada pihak terlibat," katanya mengenai anak guamnya yang telah menjalankan perniagaan sejak 10 tahun lalu.

Muhamad Akmal berkata, Zurina juga bersedia berbincang dengan 91 bakal pengantin yang membuat tuntutan untuk mendapatkan semula wang deposit.

"Bagi yang ingin berbincang mengenai isu pembayaran wang deposit, mereka bolehlah menghubungi Zurina secara terus 24 jam selepas sidang media ini berlangsung. Saya serahkan kepada anak guam saya untuk tindakan susulan," katanya.

Difahamkan, jumlah deposit melibatkan 91 pengantin terlibat keseluruhannya mencecah RM500,000.Beliau menjelaskan 91 pelanggan tersebut bukanlah mangsa kes penipuan tetapi sebenarnya bakal pengantin yang sudah membuat bayaran deposit kepada butik pengantin itu.

"Ingin kami tekankan istilah mangsa tidak pernah wujud kerana kami tidak pernah menipu mereka.

"Sebagai pelanggan mereka berhak berasa terancam tetapi ini adalah sesuatu yang tidak benar dan perkara itu telah disensasikan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mengulas lanjut mengenai bakal pengantin yang sudah membatalkan tempahan, Muhamad Akmal berkata jumlah tersebut kurang daripada 10 pelanggan.

"Yang batal tempahan tak ramai, kurang daripada 10 orang. Ada diantara mereka sudah berhubung sendiri dengan saya dan apabila dijelaskan mengenai situasi sebenar baharulah mereka faham," katanya.

Selain itu, Muhamad Akmal turut mendakwa anak guamnya disabotaj dan pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat.

Sehubungan itu, katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu terbabit yang didakwa menyebabkan berlakunya ketirisan dalam operasi syarikat.

Beliau berkata unsur sabotaj itu sudah mula disedari beberapa bulan sebelum kes pertama yang tular di media sosial pada 23 Julai lalu tetapi keadaan masih berjaya dikawal.

Selain itu, Muhamad Akmal mendakwa, isu makanan tidak disediakan pihak katering yang dilantik timbul berpunca daripada kecuaian pihak tertentu.

"Kami telah berbincang dengan pihak katering untuk bayar perkhidmatan mereka secara beransur-ansur," katanya.

Mengenai isu pelamin reban ayam, Muhamad Akmal menjelaskan pelamin tersebut bukanlah bernilai RM10,000 seperti yang diviralkan di media sosial.

Sebaliknya, beliau berkata pelamin tersebut adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan dalam pakej bajet bernilai RM10,000 meliputi katering, khemah, baju dan solekan.

"Ini bermakna nilai RM10,000 bukanlah harga pelamin semata-mata tetapi merangkumi perkhidmatan lain.

"Tuduhan yang dilemparkan mengatakan bajet RM10,000 adalah pelamin semata-mata  tidak benar," katanya.

Jelas beliau, pelanggan ada memberikan contoh gambar  pelamin yang diimpikan tetapi kakitangan Zurina cuba menjelaskan ia melibatkan kos yang lebih tinggi.

"Namun pelanggan tetap inginkan pelamin itu dan sehubungan itu, mereka cuba memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan bajet mengikut tempahan," katanya.

ZurinJundi

Artikel Berikut

Tangguh Dulu Perjalanan Ke Rakhine

Artikel Lain