BATU PAHAT: Hanya kerana 17 huruf yang digabung menjadikan namanya unik, gadis ini sering mendapat perhatian ramai sejak dari alam persekolahan lagi. "Nama saya Syaronaraudhah, tapi ramai yang tak dapat sebut dengan betul apabila kali pertama menyebutnya,” kata empunya nama Nur Syaronaraudhah Kamaruzaman, 20. Dia yang lebih mesra dipanggil Shon oleh rakan-rakan, berkata, ada yang terbelit lidah apabila menyebut atau memanggilnya, sehinggakan ada yang terpanggil sayonara atau sauna. Pada mulanya, dia agak kekok terutama ketika di sekolah rendah, namun lama kelamaan dia sudah terbiasa dengan nama itu yang boleh dianggap pelik berbanding nama rakan-rakannya. “Ketika kecil saya agak kekok dengan nama ini. Ada sesetengah rakan yang panggil saya si pelik, malah ada juga yang menggelar saya alien (makhluk asing) apabila nama saya tidak sama dengan mereka. “Pernah juga saya menangis dan minta ayah serta ibu tukar nama saya kerana tidak tahan dengan gelaran alien yang diberikan oleh rakan-rakan sekelas. “Bukan itu sahaja, selain rakan ada juga guru yang tersalah sebut nama saya sehinggakan dia berulang-ulang kali menyebut nama saya termasuklah ketika dalam perhimpunan mingguan,” katanya kepada Sinar Harian. Jadi popular di sekolah kerana nama Walaupun pada permulaan, dia agak malu kerana mempunyai nama yang boleh dianggap pelik dan tidak seperti nama kebanyakan rakan, namun akhirnya ia menjadi kebanggaan pula. Dengan nama itu, dia menjadi popular di sekolah dan semua mengenalinya. Bukan sahaja pelajar dan guru, malah kerani dan pekerja kantin juga mengenalinya. “Di zaman persekolahan, pelajar yang terkenal biasanya seorang yang aktif, contoh atlet, pelajar pintar atau pernah mewakili sekolah dalam pertandingan tertentu. “Tetapi berbeza dengan saya, yang jadi popular kerana nama. Walaupun pada mulanya saya malu, pernah menangis kerana nama tetapi akhirnya saya berbangga dengan nama yang diberikan oleh ayah,” katanya. Kad pengenalan yang tertera nama Nur Syaronaraudhah Menurut Shon, dia diberitahu oleh ayahnya yang nama berkenaan diberikan kerana minat kedua ibu bapanya itu terhadap seorang model dari India ketika 1980-an. “Ada yang kata nama saya mungkin nama Siam, kerana ibu saya berketurunan Siam, tetapi bukan itu sebenarnya. Nama saya diambil daripada nama seorang selebriti dari India,” kata anak sulung daripada empat beradik ini. Begitu pun, ketiga-tiga adiknya tidak mempunyai nama yang pelik, cuma agak panjang, iaitu Danish Iskandar, 14, Daniel Haikal, 7, dan Danny Aisy Harraz, 6. Selalu dapat layanan luar biasa Namanya itu juga menyebabkan dia sering mendapat layanan istimewa daripada pihak tertentu. Sebagai contoh, ketika mahu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), petak nama yang disediakan tidak mencukupi dan dia terpaksa dikuarantin sementara sehingga urusan pendaftaran selesai. “Ia bukan sahaja berlaku ketika UPSR, malah saya berdepan masalah sama ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). “Baru-baru ini, ketika mengisi borang untuk ke Universiti Awam (UA) juga bermasalah, sehingga saya terpaksa melakukannya secara manual, bukan mendaftar secara dalam talian seperti pelajar lain,” katanya. Menurutnya, ketika membuat kad pengenalan, kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga menegur namanya agak panjang tapi mujur dia dilahirkan selepas 1992. “Menurut kakitangan JPN itu, sekiranya saya lahir pada 1992 atau sebelum, saya terpaksa diberi dua kad pengenalan kerana sistem pendaftaran ketika itu agak terhad dan tidak dapat menerima nama yang panjang," katanya.