KEBOSANAN cepat melanda di Doha. Lebih-lebih lagi ketika musim panas. Waktu yang panjang, persekitaran yang berdebu dan hangat, memang menyukarkan. Aktiviti luaran memang terhad. Jadinya, kami harus kreatif mencari aktiviti terutama ketika hari cuti bagi mengelakkan kebosanan. Empat hari cuti, menghabiskan waktu hanya melihat sofa, meja, dinding, muka rakan serumah buat kau menyampah dengan masa. "Jom cari karom?" Ajak Anifi satu hari. Maka berangkatlah kami tiga orang mencari karom. Destinasi pertama kami, sudah tentu Pasaraya Lulu. Malangnya karom yang dijual tidak menepati citarasa. Kedudukan lubangnya berbeza dengan papan karom yang pernah kami lihat. Misi mencari karom berlanjutan sehingga dua minggu lamanya. Dari Lulu, Carefour, City Center, Matar Qadeem hingga ke Toys R Us kami mencari. Hasilnya hanya membuah gagal. "Villagio?" cadang Harith. Maka, di hari cuti kedua, berangkatlah kamu bertiga semula menerjah kepanasan siang ke Villagio semata-mata mencari karom. Dari satu kedai sukan ke satu kedai sukan yang lain. Setiap pertanyaan hanya disambut dengan gelengan kepala. Kehampaan memang akan memutikkan kebengangan. Ditambah lagi dengan kelaparan yang mula menyinggah. Nak tak nak fitrah ini harus diselesaikan dulu. "Ada satu lagi kedai sukan depan sana kan?" tanya aku. "Haah, lepas makan kita pergi," kata Harith. Selesai makan, kami berjalan perlahan ke kedai sukan tersebut. Kedai yang terakhir buat harapan yang semakin malap. Masuk sahaja ke kedai tersebut, kami berpecah mencari. Hasilnya tetap hampa. Aku tidak berpuas hati. Kami bertemu semula dan aku mengajak mereka bertanya kepada pekerja kedai. Aku merapati seorang pekerja yang sedang berdiri. Dari warna kulit, amat pasti dia warganegara India. "Sini tidak ada jual karom?" tanya aku. "Karom? Apa tu?" soal dia semula. "Eh? Kau tak tahu karom?" soal Anifi dengan tidak percaya. Tiba-tiba kepala aku sakit. Berdenyut-denyut. Bengang tadi yang telah surut kembali menaik. Aku mengambil telefon bimbit dan mula mencari gambar karom. "Ini!" tunjuk aku kepada pekerja terbabit. Dia melihat gambar karom di paparan skrin telefon aku dan kemudian menggeleng kepala tidak tahu. "Kau ni asal mana?" tanya aku. "India!" jawab dia sambil tersengih bangga. "Kau tahu tak permainan karom ini siapa cipta?" soal aku dengan nada sedikit tinggi. "Oh tidak tahu," jawab dia sambil mencebik bibir dan menggeleng kepalanya selazim pe'el orang India. "Orang Indialah cipta!" jerit aku. "Karom adalah permainan yang dimainkan oleh semua orang di dunia, yang diciptakan oleh orang India dan kau orang India kau tak tahu?!" Sebelum sempat aku menambah, Anifi kemudian menarik tangan aku. "Dah dah jom jom balik," ajak dia. Akhirnya, misi karom terkubur begitu sahaja. Dan setelah tiga tahun tidak ada lagi antara kami yang mahu meneruskan misi tersebut. "Apa bendalah karom pun tak tahu," getus Harith sewaktu kami melangkah keluar. Anifi hanya mengekek ketawa. Jika disebut karom, Anifi akan memandang aku dan kemudian menutup mulutnya sambil ketawa kecil.