suria

PCSB: Pegawai Ditahan Selepas Siasatan Dalaman Petronas

PETALING JAYA: Siasatan dalaman ke atas pegawai kanan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) mendedahkan wujudnya unsur rasuah yang membawa kepada penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai kanan itu dan dua yang lain ditahan pada Selasa kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah membabitkan RM23.7 juta.

Petronas mengesahkan penahanan tersebut dalam satu kenyataan media pada Rabu dengan berkata mereka melaporkan kes itu kepada SPRM selepas siasatan dalaman dilakukan terhadap kakitangan berkenaan.

Syarikat minyak dan gas itu turut berkata mereka telah membantu penyiasat SPRM sebelum penahanan dilakukan.

"Petronas tidak membenarkan dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku antara pekerja dan kontraktor kami. Kami bersedia kerjasama sepenuhnya dengan SPRM untuk membantu siasatan jika perlu.

"Petronas sejak 2012 telah bekerjasama rapat dengan SPRM untuk membendung gejala rasuah dan salah laku bukan sahaja di kalangan pekerja dalam kumpulan syarikat ini tetapi juga kontraktor dan pembekal perkhidmatan pihak ketiga," katanya.

Pegawai kanan PCSB, seorang pengarah syarikat lain dan seorang bekas pembantu teknikal PCSB direman selama enam hari sehingga 11 September ini.

Ketiga-tiga mereka masing-masing berusia antara 45, 53, dan 28 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan pada Selasa.

Mereka dipercayai terlibat dalam menghantar tiga invois palsu untuk projek menggerudi minyak yang tidak pernah dilaksanakan iaitu antara April hingga Jun 2015.

Bagaimanapun, PCSB membuat bayaran penuh kepada syarikat tersebut.

PCSB, SPRM

Artikel Sebelum

UM Duduki Ranking 400 Teratas

Artikel Berikut

Artikel Lain