JELI: Tiga pelajar Politeknik Jeli mati lemas ketika mandi di air terjun Lata Janggut di sini pagi Jumaat. Mereka yang merupakan pelajar semester satu jurusan Diploma Akuakultur yang berumur 18 tahun dikenali sebagai Muhd Farid Rozi dari Kota Bharu, Kelantan, Putra Izzad Iskandar Zulkifli dari Rambai, Melaka dan Muhammad Ikram Fais Mohd Faisal dari Besut, Terengganu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shahril Mohamad Sa'aid berkata para pelajar itu tiba di lata itu pada pukul 10 pagi bersama sekumpulan rakan yang lain. "Semasa pihak bomba tiba di tempat kejadian, Muhd Farid dan Putra Izzad Iskandar telah ditemui oleh orang ramai kira-kira pukul 10.15 pagi manakala mayat Muhammad Ikram Fais ditemui pada pukul 11.21 pagi," katanya ketika dihubungi. Kesemua mayat kini berada di Hospital Jeli. Seorang rakan mereka, Izwan Asri Elias, 18, berkata dia dan kira-kira 30 orang rakannya bertolak ke Lata Janggut kira-kira 9 pagi untuk beriadah serta mengambil sampel air bagi tugasan mereka. "Ketika sedang mandi, seorang rakan kami tiba-tiba dihanyutkan arus deras. Dua lagi rakan kami cuba membantunya tetapi akhirnya ketiga-tiga mereka lemas," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jeli. Ibu Muhd Farid, Rohaya Ab Rashid, 50, berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa anak kelimanya daripada 10 beradik itu daripada seorang rakan anaknya menerusi panggilan telefon pada pukul 10.30 pagi. “Anak saya ada menghantar gambar air terjun ke kumpulan WhatsApp keluarga kami dan saya sempat menasihatinya agar berhati-hati ketika berada di sana. "Semalam pun arwah ada telefon beritahu yang dia nak ke Lata Janggut bersama rakan-rakannya. Kali terakhir saya jumpa arwah ialah Isnin lepas ketika cuti sempena Aidiladha," katanya. Sementara itu Timbalan Pengarah Politeknik Jeli, Mahazir Muhammad Zain berkata kumpulan pelajar tersebut berkunjung ke lata itu untuk melakukan aktiviti mereka sendiri. "Mungkin mereka sudah berpakat untuk ke sana memandangkan hari ini ialah hari minggu (Jumaat) dan pelajar dibenarkan keluar dari kolej dan hanya perlu pulang ke asrama sebelum pukul 6 petang," katanya. - BERNAMA