suria

Kerjasama DSV-LV Demi Peminat

JAKARTA: Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengumumkan kerjasama beliau dengan jenama terkemuka, Louis Vuitton (LV) untuk menghasilkan produk beg tangan jenama sendiri, iaitu DSV-LV.

Usahawan itu, yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida atau DSV, berkata rekaan mengikut tempahan itu akan tersedia untuk pasaran Asia Tenggara menjelang tahun depan.

Vida memiliki lebih 100 beg tangan LV tempahan khusus yang boleh dilihat menerusi gambar di akaun Instragram beliau.

“Setengah-setengah pihak menuduh saya menunjuk-nunjuk kekayaan saya, namun sebenarnya, ia adalah bentuk promosi, iklan awal mengenai apa yang akan ada selepas ini.

“Semua orang tahu saya sangat sayangkan beg tangan saya, tetapi saya tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan produk beg tangan saya sendiri, memandangkan membuat beg tangan bukan kepakaran saya.

“Jadi, setakat ini, ia akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan LV,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, selepas temu bual dengan V Radio FM di sini.

Vida berkata, beliau meminati beg tangan yang dihasilkan mengikut tempahan dan edisi terhad atas faktor keunikan dan produk itu jarang berada di pasaran, serta mempunyai nilai jualan semula yang tinggi.

“Saya akan membuat rekaan yang cantik, jarang (ada di pasaran) dan unik, khusus untuk peminat saya di Asia Tenggara. Beg itu mesti ada ‘bling' dan bersilang,” katanya semasa temu bual dalam segmen “Bangun Pagi” di stesen radio tersebut.

Vida kini berada di Jakarta untuk mempromosikan lagi produk kosmetiknya di pasaran Indonesia, serta melancarkan buku beliau di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia pada Sabtu.

Buku beliau, “I AM ME: Rahsia Niaga DS Vida” yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu juga boleh didapati secara dalam talian di laman web ITBM, itbm.com.my. - BERNAMA

Datuk Vida, LV

Artikel Sebelum

Tiga Pelajar Politeknik Mati Lemas

Artikel Berikut

Artikel Lain