suria

“Tak Pernah Pegang Stereng BMW” - Sahrul

PETALING JAYA: Seorang lelaki mendakwa kisah pemandu BMW yang kononnya terpaksa memandu secara berbahaya sehingga hampir meragut nyawa orang lain atas alasan anaknya digigit lipan hanyalah rekaan semata-mata.

Menurut lelaki tersebut yang dikenali sebagai Sahrul Azfa Hamzah, dia tidak pernah memiliki kereta mewah berwarna hitam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Malah, lelaki berusia 32 tahun itu mendakwa dia menjadi mangsa fitnah apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun Facebook palsu menggunakan namanya.

"Saya ingin jelaskan di sini saya bukanlah pemandu kereta BMW itu. Saya amat terkilan apabila orang ramai percaya bulat-bulat kenyataan palsu itu.

"Ingat ada ke orang senang-senang nak mengaku terlibat dalam insiden seperti itu," katanya kepada mStar Online.

Jelas Sahrul yang berasal dari Kelantan ini, dia hanya memiliki sebuah kereta jenis Perodua MyVi yang digunakan sejak 2007.

"Saya mana ada duit nak beli BMW, apatah lagi pegang stereng BMW. Saya hanya pakai MyVi tahun 2007 sebiji (sebuah)," katanya.

Ketika ditanya mengenai bukti pengakuannya itu, Sahrul berkata dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Johor hampir 15 tahun.

Malah, katanya, pada hari kejadian, dia terlibat dengan aktiviti korban Aidiladha di masjid kawasan kejiranannya di Puchong.

"Saya ada di Puchong pada waktu kejadian. Saya tak balik (Aidiladha) kerana tiada cuti raya.  Jika ada BMW sudah tentu saya drive balik kampung tayang kereta dekat orang kampung.

"Saya boleh buktikan semua kenyataan saya ini. Saya tak rasa takut dan cuak melainkan geram dengan pemandu sebenar BMW itu," katanya.

Keadaan hadapan kereta mangsa rosak teruk. 

Ditanya mengenai motif akaun Facebook palsu dengan namanya diwujudkan, Sahrul berkata individu terbabit mungkin sengaja mahu mencari publisiti murahan.

"Dunia sekarang semua nak glamor tak kisah kena kutuk pun. Saya tak fikir ia unsur sabotaj kerana saya tiada apa-apa kepentingan dalam perniagaan, parti politik, organisasi pentadbiran mahupun pemilikan saham," katanya.

Sahrul berkata dia tidak akan membuat laporan polis mengenai tindakan individu tidak bertanggungjawab tersebut tetapi sedia memberi kerjasama apabila diperlukan.

"Walaupun saya tak buat laporan polis tapi saya sedia beri kerjasama pada bila-bila apabila diperlukan. Lagipun saya sudah berhubung dengan kakak kepada mangsa memaklumkan mengenai perkara sebenar.

"Namun saya harap agar pemilik atau pemandu sebenar BMW itu diheret ke muka pengadilan secepat mungkin agar mangsa dapat keadilan dan segala kekusutan dapat dirungkai," katanya.

Pada Khamis, kecoh apabila individu dengan nama di Facebook 'Sahrul Azfa Hamzah' tampil memberitahu bahawa dirinya adalah pemandu BMW yang memandu secara berbahaya di Kilometer 55, Jalan Kota Tinggi-Kluang, sehingga hampir meragut nyawa dua sahabat dalam kejadian Sabtu lalu.

Pemilik akaun tersebut turut memohon insiden yang tular tersebut dipadam di laman sosial berkenaan dan berkata tindakannya tersebut dilakukan kerana 'kecemasan'.

“Kepada tuan yang ‘post’ (muat naik) kisah ini (video insiden), saya harap dapat ‘delete’ (padam) secepat mungkin.

“Saya bukan sengaja, saya memang dalam kecemasan kerana anak saya yang berusia lima bulan digigit lipan,” dakwanya.

BMW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain