suria

Malang Berbau, Ubatnya Minum Susu

SIAPA kata malang tidak berbau? Malang memang berbau. Dan kadang-kadang ia berbau kerosin.

Itu untuk akulah yang berkerja dan 'bermesra' dengan tubuh kapal terbang ini. Entah apa malang terkena pula tugasan di dalam tangki minyak.

Bila sahaja tugasan itu diberi, tidaklah aku pertikaikan. Jika aku pertikaikan, silap-silap mahu aku kena tugasan yang sama berbulan-bulan. Itu lagi malang.

Sebenarnya, bekerja di dalam tangki minyak adalah antara tugasan yang sukar. Selain persediaannya yang renyah, pekerja juga terdedah dengan bahaya bau kerosin yang amat perit bila di hidu.

Tangki minyak kapal terbang terletak di tiga bahagian - sayap kiri, sayap kanan dan di bawah perut sesebuah pesawat udara.

Sebelum mula bekerja, tangki minyak harus dikeringkan dahulu. Setelah dikeringkan, satu proses yang dipanggil ‘purging’ perlu dilakukan bagi mengurangkan bau minyak yang kuat tadi.

Caranya, dengan meletak gegelung hos angin yang besar dan melepaskan angin ke dalam tangki minyak, dan kesemua penutup tangki perlu di buka bagi membolehkan udara keluar dan masuk. Dan proses ini selalunya memakan masa 24 jam dan diteruskan sehingga selesai tugasan.

Persediaan lain yang harus dilakukan ialah memakai kelengkapan yang bersesuaian. Seperti jaket, topeng udara dan lampu suluh yang telah dicipta untuk tugasan tersebut.

Selain itu, susu perlu disediakan juga. Ini bagi membuang semua sisa-sisa kerosin yang mungkin meresap ke dalam tubuh badan.

Dengan meminum susu selepas tugas, pekerja akan membuang air besar tidak lama selepas itu sekaligus membuang toksin kerosin terbabit.

Sebelum memakai jaket, semua benda yang di dalam poket harus dikeluarkan. Lebih-lebih lagi telefon bimbit. Menjadi satu kesalahan besar membawa masuk telefon bimbit sama ada secara sedar atau tidak.

Aspek keselamatan yang tinggi harus diawasi sepenuhnya. Jika terbawa masuk telefon bimbit, manalah tahu tiba-tiba ada panggilan masuk, ia berdering. Keadaan itu membawa risiko berlaku letupan. Itu kau sendiri tentu tahu berapa punya malang!

Bergantung kepada tahap kesukaran tugasan, selalunya tiga orang diperlukan untuk melakukannya. Ada juga waktu-waktu tertentu hanya dua orang sahaja diperlukan. Tetapi disebabkan tugasan kali ini agak renyah, maka tiga orang adalah wajar.

Kenapa wajar? Kerana ruangan di dalam tangki minyak adalah sempit. Dan jika kau menghidap penyakit claustrophobia dan asma, memang tidak di benarkan langsung masuk kerana membahayakan nyawa.

Cara selamat melakukan tugasan ini, dua orang akan masuk dan seorang akan tunggu di luar tangki minyak. Dua orang yang masuk tadi akan melakukan tugasan pemeriksaan, sementara seorang yang menunggu di luar tadi akan melakukan tugas komunikasi.

Walaupun aku memakai topeng udara yang bagus, tetapi bau kerosin tetap menusuk ke lubang hidung. Lagi lama kau di dalam tangki minyak boleh mengundang rasa pening dan mual.

Dan yang menunggu di luar tadi akan sentiasa memanggil nama kami, bagi memastikan tahap kesedaran kami. Sebab pernah ada kes seseorang pengsan di dalam tangki minyak.

Tapi kadang-kadang aku rimas juga apabila setiap 10 minit nama aku dipanggil-panggil. Kalau merdu suaranya bak buluh perindu tak apalah juga. Ini tidak, pelat semacam je. Malang betul.

Selain itu pekerja yang menunggu di luar tadi juga perlu menjaga peralatan dan juga pendaki yang digunakan untuk memanjat masuk. Jika tidak, entah siapa-siapa akan mengambil pendaki tersebut.

Kalau itu keadaannya tinggallah kau dalam tangki minyak tak dapat turun hinggalah ada orang yang sedar dan meletakkan semula pendaki ke tempat yang sepatutnya.

Dulu-dulu ada satu kejadian malang terjadi kepada seseorang. Lebih kurang 10 tahun dulu. Ah, panjang pula kalau nak diceritakan. Nantilah, minggu depan aku cerita. Kau orang tunggu tau!



kerosin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain