suria

“Saya Bukan Acah-Acah Lawa” - Gadis Traktor

Nurul Syifa merupakan pelajar lepasan Diploma Pemasaran dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Kedah. - Instagram/Syifa Majid

PETALING JAYA:  Lumrah gadis cantik, setiap apa yang dilakukan pasti akan jadi perhatian masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia tular di laman sosial.

Inilah yang berlaku kepada pembantu tadbir komunikasi korporat di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang berniat untuk berkongsi kebolehannya mengendalikan jentera berat di sebuah sawah, tetapi niatnya disalah anggap dan akhirnya dikecam hebat oleh netizen.

Nurul Syifa Mat Dzahid, 22, berkata video yang dimuat naik itu hanyalah satu sesi latihan yang biasanya akan dilakukan oleh kakitangan Mada apabila membuat lawatan tapak.

Namun, siapa sangka netizen tidak berminat untuk melihat bakatnya itu, sebaliknya lebih tertumpu kepada warna kasutnya yang putih kerana tidak tercalit sebarang kotoran walaupun berada di kawasan sawah yang dipenuhi lumpur.

Reaksi netizen selepas menonton rakaman tersebut.

Kata Nurul Syifa, dia tidak menyangka video berkenaan akan mengundang rasa tidak puas hati netizen apabila ada pihak yang berkongsi video tersebut di laman sosial mereka.

"Kasut saya bukannya tidak kotor, masa rakaman tu dibuat, saya naik dari tebing. Sebab itu nampak bersih.

"Tapi kemudian barulah kotor ketika saya hendak turun dari jentera tersebut. Tidak terfikir pula orang akan kecam pasal kasut," ujarnya sambil berseloroh.

Nurul Syifa ketika mewakili Mada sempena perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.

Setakat ini, video tersebut sudah mencecah 333,000 tontonan, selain 1,629 perkongsian dan 12,000 likes.

Tambah gadis kelahiran Jitra, Kedah itu lagi, dia agak terkilan apabila ada pihak yang menyifatkan gadis cantik gemar melakukan perkara 'bodoh' semata-mata ingin tular di media sosial.

Soal pakaian yang dikenakannya dianggap tidak sesuai ketika membuat latihan tersebut, Nurul Syifa mengakui kesilapannya, menyatakan sudah lumrah golongan wanita suka 'bersiap-siap' ketika ingin keluar rumah atau bekerja.

Rakaman Nurul Syifa mengendalikan sebuah jentera berat ketika menjalani latihan di Kompleks Latihan Mada, Alor Serdang di Kedah.

"Saya bukan acah-acah lawa seperti yang didakwa netizen. Bila difikirkan balik, memandu jentera berat bukanlah sesuatu yang bodoh atau boleh mengaibkan saya.

"Sewaktu mengetahui mengenai video tersebut tular, saya terus bertanya kepada majikan sama ada apa yang saya lakukan telah menjejaskan nama Mada, tetapi majikan kata tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Nurul Syifa, dia juga menolak dakwaan netizen yang mengatakan perbuatan tersebut hanyalah ingin meraih pengikut di Instagram untuk membuat ulasan produk bagi menambah pendapatan sampingan.

Menurut gadis yang mempunyai lebih 76,600 pengikut di Instagram itu, dia memang membuat ulasan produk sebelum ini dan menganggap ia satu bentuk rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain