suria

Militan Daesh Rancang Serang Bukan Islam

KUALA LUMPUR: Seorang anggota militan Daesh yang ditahan di Bagan Serai, Perak merancang untuk mendapatkan senjata termasuk senapang M16 dan AK-47, sepucuk pistol dan sebutir bom tangan dari Thailand.

Suspek berusia 21 tahun itu merupakan antara tiga anggota militan yang ditahan dalam satu operasi antara 8 dan 10 September, yang menyasarkan serangan bersendirian terhadap orang bukan Islam termasuk tempat beribadat mereka.

"Antara lokasi yang disasarkan adalah tempat beribadat di Malaysia dan selatan Thailand.

"Jika dia gagal melancarkan serangan senjata api, dia akan melakukan serangan menggunakan pisau," kata sumber pada Isnin.

Difahamkan suspek merancang untuk menghubungi kumpulan sindiket penyeludupan senjata api untuk mendapatkan senjata itu sebelum penahanannya pada 8 September lalu.

"Pihak berkuasa percaya dia menerima arahan daripada militan rakyat Malaysia di Syria.

"Dia telah berhubung dengan mereka, termasuk militan di selatan Filipina sejak akhir tahun lalu," kata sumber lain.

Seorang anggota militan yang merupakan mentor kepada suspek adalah bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad, dipercayai terlibat dalam pertempuran Marawi bersama kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan Maute.

Dr Mahmud melarikan diri ke selatan Filipina pada 2014 bersama beberapa anggota militan rakyat Malaysia.

"Dr Mahmud mengajar suspek tentang bagaimana membuat bahan letupan buatan sendiri (IED).

"Suspek menyasarkan untuk membuat IED berskala besar untuk serangan di Malaysia dan selatan Filipina," kata sumber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek cuba untuk membuat bom sebanyak tiga kali tetapi tidak berjaya.

"Kita turut merampas bahan kimia yang digunakan untuk membuat IED dari kediaman suspek.

"Suspek mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan Abu Sayyaf," tambahnya.

Suspek bersama dua yang lain ditahan di Melaka dan Petaling Jaya.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

IS, militan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain