PETALING JAYA: Seorang pelabur kacak menjadi perhatian di laman sosial selepas perbuatannya menyikat rambut anak patung Barbie tular di Twitter. Muhamad Firdaus Mohamad Razali, 28, yang tidak menyedari aksi spontan yang dirakam secara senyap-senyap oleh jiran perempuannya itu mengaku bengang apabila mengetahui video tersebut dimuat naik untuk tontonan umum tanpa pengetahuannya. Namun, jejaka tersebut tidak menganggap ia suatu masalah besar biarpun dirinya menjadi perhatian golongan wanita dan lelaki yang terhibur menonton gelagat bersahajanya itu. Malah, disebabkan video tular itu, dia dipanggil 'Abang Barbie'. Muhamad Firdaus ketika dihubungi mStar Online pada Rabu berkata, dia turut berasa malu kerana disalah anggap mempunyai sifat feminin sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen. "Mula-mula rasa malu sebab saya bukan suka bermain anak patung seperti yang dirakam dalam video tersebut. "Ia cuma perbuatan spontan yang dilakukan sewaktu sedang menunggu ketibaan pihak bomba kerana rumah jiran saya dimasuki ular," jelasnya. Kau ingat kau comel main barbie? ?????? pic.twitter.com/L8GVfHNePR — MelorKaza (@Melorkaza) September 18, 2017 Menerusi rakaman berdurasi 15 saat itu, Muhamad Firdaus terus meletakkan anak patung tersebut sebaik menyedari gelagatnya dirakam oleh jirannya, Melor Kaza. Setakat ini, rakaman tersebut yang dibuat di kediaman Melor di Sungai Buloh itu tular di Twitter sehingga mendapat 13,000 ulang kicau dan 6,061 likes. Jelasnya, dia sering ke kediaman keluarga Melor kerana keakraban yang terjalin antara mereka. "Kami ibarat keluarga dan tujuan saya datang ke rumahnya adalah untuk makan tengah hari. "Lepas video itu tular, ada yang hantar pesanan peribadi meminta saya sikat rambut mereka pula. Rasa nak tergelak pun ada," katanya yang memberitahu hobi sebenarnya adalah bermain permainan video bola sepak, Fifa.