suria

Hitz FM Mohon Maaf

PETALING JAYA: Stesen radio Hitz FM membuat permohonan maaf susulan penyiaran video yang memaparkan perlakuan negatif dan diskriminasi terhadap golongan transgender.

Stesen radio itu memuat naik video sketsa berdurasi 22 saat itu di laman Facebook mereka pada Rabu.

Video itu memaparkan dua penyampai segmen "morning crew" iaitu Ryan De Alwis (RD) dan Arnord Loh mengusik seorang wanita yang berjalan melintasi mereka.

Aksi dalam video itu diteruskan dengan babak RD mendekati wanita itu sebelum dua penyampai itu mula muntah kerana individu berkenaan merupakan seorang transgender.

Kapsyen pada video itu: "Apabila seorang wanita cantik sebenarnya lelaki. Apakah anda terkejut hingga muntah?"

Stesen itu telah memadam video berkenaan dari laman Facebook mereka setelah menerima kecaman orang ramai.

"Kami di Hitz memohon maaf atas video berkenaan dan sudah  memadamnya. Terima kasih," ujar Hitz pada Khamis.

Sementara itu, aktivis transgender, Nisha Ayub menyelar radio berkenaan dan mendakwa mereka cuba menyemai kebencian terhadap golongan itu.

"Anda sangat memalukan Hitz FM. Adakah kamu cuba mempromosi buli dan kebencian terhadap golongan ini," tulisnya melalui laman Facebook.

Katanya lagi, golongan transgender di Malaysia sering disisih dan turut menjadi mangsa jenayah kebencian.

"Media kita pula berterusan menyampaikan mesej yang buruk mengenai transgender kepada orang ramai," ujarnya.

Mengulas mengenai babak dua penyampai itu yang muntah setelah melihat seorang individu transgender, dia meluahkan rasa jijik terhadap perbuatan mereka.

"Mesej apa yang kamu cuba sampaikan kepada masyarakat?" katanya.

Dia juga berkata, mereka yang beranggapan bahawa video itu sekadar jenaka tidak sedar bahawa ia boleh memberi kesan terhadap kehidupan orang lain.

Apabila dihubungi, DJ Arnold berkata, dia tidak dibenarkan untuk membuat sebarang komen mengenai isu ini, manakala RD belum memberi sebarang respon kepada pihak media.

Hitz FM, RD

Artikel Sebelum

Artikel Lain