KUALA LUMPUR: Penganjuran 'Better Beer Festival 2017' tidak dibenarkan kerana dikhuatiri akan menjadi sasaran serangan milian Daesh, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Beliau berkata, Bukit Aman mendapat maklumat risikan tentang kumpulan militan merancang untuk mensabotaj acara tersebut. "Terdapat maklumat yang mendedahkan bahawa wujud perancangan oleh pihak militan yang akan melakukan sabotaj ke atas festival berkenaan kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan perjuangan mereka. "Maklumat juga mendedahkan bahawa wujud beberapa pihak yang merancang untuk menimbulkan kekacauan semasa festival tersebut berlangsung dan ini bakal menimbulkan satu situasi keselamatan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis. Menurut Mohamad Fuzi, Bukit Aman harus bertindak proaktif dengan mendirikan bantahan terhadap penganjuran tersebut demi keselamatan awam. Pada Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)menolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017' yang dijangka diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini. DBKL dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menerima permohonan daripada pihak penganjur pada 28 Ogos untuk menjalankan aktiviti tersebut di Solaris Damansara dari pukul 2 petang hingga 11 malam.