KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk melakukan siasatan terhadap piawaian keselamatan di semua pusat tahfiz seluruh negara bagi memastikan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini baru-baru ini tidak berulang. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berdasarkan siasatan itu nanti, mana-mana pusat tahfiz yang tidak mematuhi piawaian akan diberikan tempoh untuk meningkatkan tahap keselamatan pusat masing-masing dan jika gagal berbuat demikian, pusat berkenaan akan diarahkan tutup. Beliau bagaimana pun tidak menyatakan tempoh yang diberikan kepada pusat-pusat tahfiz untuk mematuhi piawaian yang ditetapkan. "Sebab ini soal keselamatan anak-anak kita yang tidak boleh kita kompromi dan saya setuju ini adalah 'time bomb' yang tidak boleh kita pandang ringan. "Ini soal nyawa anak-anak kita dan ini tanggungjawab kita, bukan soal kuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri tetapi ini soal keselamatan, kebajikan dan lebih-lebih lagi nyawa anak-anak kita," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan tahun 1439H/2017M di sini Jumaat. Dalam kejadian 5.15 pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut. Sabtu lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan. Najib berkata, peristiwa yang berlaku kepada pusat tahfiz tersebut adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan kejadian itu masih menghantui fikirannya sehingga ke hari ini. "Saya tidak dapat percaya bahawa ada remaja dalam belasan tahun boleh merancang perbuatan jenayah yang begitu teliti sehingga menyebabkan 21 pelajar tidak berdosa maut serta dua orang guru terkorban. "Apalah dosa mereka? Takkan lah bergaduh sebab futsal boleh berlaku jenayah ini. Inilah yang menghantui fikiran saya," katanya. Turut hadir pada majlis itu, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa menteri kabinet. - BERNAMA