suria

Guru Dipaksa Sertai MLM - Netizen

PETALING JAYA: Aktiviti pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dikesan menyasarkan guru-guru sebagai ahli bawahan dengan alasan ia dapat menjana pendapatan tambahan.

Namun apa yang membimbangkan jika golongan pendidik akhirnya terpaksa berputih mata sekiranya terjebak dalam penipuan skim MLM.

Lebih memeritkan apabila guru yang menjadi mangsa penipuan dihimpit masalah kewangan kerana membuat pinjaman bank bagi menyertai MLM yang dipercayai ditawarkan di sekolah-sekolah.

Walaupun bukan semua MLM terlibat dengan penipuan, tetapi timbul dakwaan di laman sosial mengenai segelintir guru dipaksa pentadbir atau ketua jabatan di sekolah supaya menyertai MLM sebagai ahli bawahan mereka.

Sama ada berat hati atau mahu mengambil hati pihak atasan, akhirnya guru-guru berkenaan menanggung risiko kehilangan wang.

"Kadang-kadang pentadbir sendiri pun 'join' dan 'push' anak buah 'join'. Dah macam serba tak kena.

"Ada yang 'join' sebab nak ambil hati. Tak termasuk salah guna jawatan atau kalau ajak bisnes masa waktu kerja," kata seorang netizen di ruangan komen mengenai perkongsian 'posting' Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkaitan guru dan MLM, di laman sosial sejak Ahad.

Malah terdapat netizen mendakwa ajakan segelintir pentadbir sekolah dalam MLM adalah kebiasaan memandangkan mereka telah melaburkan sejumlah wang untuk bergiat aktif sebagai ahli atasan (upline).

Jika yang diajak adalah dalam kalangan guru-guru biasa mungkin mudah untuk ditolak secara baik sekiranya tidak berminat, tetapi jika pentadbir pastinya mengundang dilema 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'.

"Masalahnya kalau cikgu biasa tak ada apa. Kalau pentadbir, kita jadi cuak (takut). Saya pernah kena panggil ke biliknya ingat ada arahan apa.

"Tapi rupanya ajak masuk MLM. Tapi gayanya desak buat kita tak selesa," luah seorang guru.

Bukan sekadar pentadbir, bahkan terdapat aduan netizen yang mendakwa dipaksa oleh guru-guru yang lebih senior untuk menyertai MLM.

"Datuk, yang jadi 'upline' ni kaum guru juga, ramai guru 'fresh' baru 'posting' jadi mangsa disuruh (buat) pinjaman sampai RM50,000," dakwanya.

Pada Ahad, Mahdzir menerusi halaman Facebooknya menasihatkan semua guru sentiasa berhati-hati dalam urusan berkaitan perniagaan seperti MLM agar tidak terjebak dengan masalah sehingga mengganggu prestasi kerja.

Menurut menteri pendidikan itu, guru-guru perlu mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing berhubung perkara tersebut.

"Mereka juga perlu buat penyelidikan atau semakan sendiri terlebih dahulu terhadap apa jua konsep menambah pendapatan yang ditawarkan oleh pihak tertentu.

"Ketua jabatan pula perlu memiliki rasa tanggungjawab memberi nasihat, pandangan yang sewajarnya," ujar Mahdzir yang turut memuat naik artikel yang bertajuk 'Guru dan MLM kenapa tak serik-serik'.

MLM, Kementerian Pendidikan, Guru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Berpantang Maut Sebelum Ajal

Artikel Lain