REMBAU: Berpantang maut, sebelum ajal. Itu yang dapat disimpulkan apabila seorang lelaki hanya mengalami cedera ringan walaupun kereta dipandunya musnah dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Seremban-Tampin, dekat Kendong, di sini, pada Isnin. Menurut orang awam yang ditemui, Mohd Zuki Dahan, 61, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seremban Jaya terkejut apabila melihat keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu. “Salah satu kenderaan tu, saya dah tak cam dah kereta apa sebab rosak teruk. Mujurlah tempat pemandunya tak kemik. Mengikut cerita rakan-rakannya di sini, mangsa hanya cedera ringan saja. “Kalau tengok keadaan kereta ni, saya ingat mangsa maut atau pun cedera parah. Syukur mangsa hanya cedera ringan,” katanya kepada Sinar Harian. Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6.35 pagi, membabitkan dua kenderaan iaitu kereta jenis Proton Satria dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux. Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta Proton Satria dalam perjalanan dari arah Tampin ke Rembau, manakala, Toyota Hilux dari arah bertentangan. “Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke laluan bertentangan, sebelum berlanggar dengan pacuan empat roda. “Kedua-dua pemandu cedera ringan saja," katanya.