MELAKA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji keperluan untuk pemasangan 'dashboard camera' pada ambulans bagi merakam tindakan pengguna jalan raya menggunakan lorong kecemasan dan menghalang laluan ambulans. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr S. Jeyaindran berkata inisiatif itu diambil berikutan tindakan segelintir pemandu yang bersikap mementingkan diri menyebabkan petugas kesihatan lewat sampai ke lokasi bagi memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa. Katanya kaedah pengawasan itu dijangka meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan yang bukan hanya merakam kesalahan memandu melebihi had laju bahkan kesalahan lain di jalan raya bagi mengelakkan mereka yang memerlukan bantuan teraniaya. "Kita sudah melakukan percubaan pemasangan 'dashboard camera' ini pada ambulans di kawasan Lembah Klang selama setahun dan kita dapati banyak kebaikannya. "Bagaimanapun, kita perlu melakukan kajian (menyeluruh) termasuk kos yang perlu diperuntukkan sekiranya pemasangan 'dashboard camera' ini dilaksanakan pada semua ambulans di seluruh negara,"katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar 'Paramedic Emergency Update Melaka' (iPremium) 2017 di Rumah Media Melaka di sini pada Rabu. - Bernama