suria

Kisah Nasi Minyak Lauk Ayam RM1

BARU-BARU ini tular di media sosial mengenai seorang pengusaha kantin sekolah rendah, yang memuat naik status menjual nasi minyak berlaukkan ayam dengan harga RM1.

Statusnya itu telah dituralkan netizen sehingga mendapat lebih 30,000 respons pengguna dan mendoakan pengusaha tersebut mendapat rezeki yang lebih banyak kerana kemurahan hati beliau memberikan harga sebegitu kepada murid-murid.

Bagaimanapun terdapat komen, yang mempertikai apakah nilai sebegitu boleh menjana keuntungan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa kini, apatah lagi untuk membayar gaji pekerja serta menganggap itu taktik pemasaran semata-mata.

Sinar Harian berusaha menjejaki pengusaha tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Jengka 19 dan bertemu dengan Hairy Azly Kassim, 39, dan isteri Dasilawati Kamarudin, 38, yang mula memasuki tender sekolah sejak tujuh tahun lalu.

“Sejak masuk kantin sekolah itulah harga kami. RM1 untuk semua nasi berlaukkan ayam seperti nasi minyak, nasi tomato dan nasi lemak. Tak pernah tukar sampai sekarang. Alhamdulillah rezeki kami murah, ada sahaja rezeki datang dari sudut lain yang boleh kami salurkan semula kepada murid-murid sekolah ini.

“Anak saya pun bersekolah di sini, jadi saya faham dan cuba bantu golongan ibu bapa di sekolah ini. Kebanyakan mereka adalah generasi kedua peneroka yang bekerja sendiri dan bekerja kampung,” katanya.  

Asal berniaga burger

Bermula sebagai peniaga gerai burger di Simpang Felda Jengka 19, Hairy berkata, beliau sememangnya gemar melakukan konsep memberi kepada orang ramai.

“Dulu waktu berniaga burger saya buat konsep beli tiga biji dapat cabutan bertuah. Sebulan sekali cabut undi dan pemenang akan terima gajet seperti telefon bimbit dan barangan elektrik seperti kipas. Konsep tu berjaya sebab ramai pelanggan yang akan beli tiga sekali gus.

“Bagi saya berniaga ni atas inisiatif dan niat kita. Nak jual murah orang beli banyak, atau nak jual mahal tapi orang beli sikit. Sama macam berniaga kantin ni. Makanan habis setiap hari. Murid-murid cuma 290 orang. Seramai 64 daripada mereka adalah peserta Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMT), dan bakinya adalah pembeli RM1.

“Kalau saya jual mahal tapi tak semua membeli pun tak ada untung juga. Sebenarnya untuk sekolah-sekolah yang mempunyai RMT, pengusaha sudah memperoleh untung,” katanya.

Menurutnya lagi, seorang peserta RMT dibayar sebanyak RM2.50 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jika 64 murid, dia memperolehi  RM160 sehari.

“Cuba darab sebulan hari persekolahan? Di situ sudah ada pendapatan tetap sebanyak RM3,000 lebih sebulan. Bakinya adalah murid lain yang beli nasi RM1. Katakan cuma 50 orang yang beli didarabkan dengan sebulan persekolahan. Masih ada untung,” katanya.

Rezeki pelbagai sudut

Selain berniaga kantin sekolah, Hairy juga memiliki perniagaan katering yang dinamakan Ejas Sikit Katering beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Bapa kepada lima anak berusia dua hingga 16 tahun ini berkata, berbekalkan niat membantu meringankan beban keluarga peneroka inilah barangkali punca rezekinya di bidang katering lebih luas.

Beliau bersyukur, dengan pendapatan sebegitu beliau mampu membayar gaji lima pekerjanya termasuk isteri beliau selaku tukang masak.

“Kadang-kadang tak menang tangan terima tempahan. Alhamdulillah. Keuntungan katering pula saya buat biaya budak-budak dan guru-guru. Sebulan sekali saya akan berikan makan percuma di sini.

“Terpulang kepada peniaga nak untung dari sudut mana. Bagi saya, niat untuk membantu bukan saya tak untung langsung. Ada untung cuma saya tak perlukan lebih dari anak-anak sekolah,” akhirinya.

Puji sikap pengusaha kantin

Guru Besar SK LKTP Felda Jengka 19 di sini, amat berpuas hati dan memuji kemurahan hati pengusaha kantin sekolah tersebut yang menawarkan harga RM1 untuk sepinggan nasi berlaukkan ayam.

Hasnan Kamaruzzaman berkata, beliau amat berterima kasih di atas harga tersebut sedangkan ia boleh diberikan harga sehingga RM2 atau RM3 sepinggan.


Felda Jengka 19, Hairy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain