SEBELUM aku meneruskan cerita kali ini, ingin sekali aku memberi penjelasan. Minggu lalu cerita aku di ruangan ini nampaknya dikongsi portal tertentu. Walaupun nama aku dinyatakan dalam siaran semula itu, mereka tidak pula memetik sumber asal ia diterbitkan. Dan lebih membuat aku bengang, gambar yang aku sertakan bersama catatan itu pandai-pandai saja mereka mengubah suainya. Ia bukan saja tidak beretika malah sangat mengelirukan pembaca. Baik, salah satu kerja yang perlu aku laksanakan di sini ialah modifikasi. Selalunya kerja ini dilakukan atas perintah syarikat pengeluar kapal terbang sama ada Boeing atau Airbus. Mereka akan mengeluarkan SB (Service Buletin) menyatakan keperluan pada pengubahsuaian tersebut bersama dengan cara dan gambar rajah yang lengkap untuk tujuan modifikasi. Selalunya proses itu memakan masa berhari-hari untuk disiapkan. Ia tidak boleh diambil ringan kerana kesilapan sewaktu melakukan modifikasi akan memudaratkan sistem seperti boleh terbakar, merosakkan sistem komputer malah akan turut memanjangkan lagi masa yang telah ditetapkan. Modifikasi perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua orang bagi tujuan mempercepatkan proses dan mengurangkan risiko kesilapan sepanjang proses tersebut. Tetapi malangnya, ada juga watak-watak yang tidak stabil kemampuan berfikirnya. Justeru mereka mendesak supaya proses berkenaan segera disiapkan. Pada waktu ini, jurutera kapal terbang menjadi benteng terakhir mempertahankan mekanik yang melakukan kerja. Jika nasib kau tidak baik, jurutera kau pun turut sama tidak stabil emosinya, maka jadilah kau seperti hamba adbi yang didesak membina piramid dalam tempoh empat malam. Alhamdulilah, jurutera aku untuk projek modifikasi ini adalah Maher, warganegara Maghribi yang lemah-lembut, bertimbang rasa dan bijak orangnya. Jadi segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik. Rakan sekerja juga memainkan peranan penting untuk menjayakan tugasan ini. Nasib tak baik, aku digandingkan bersama seorang mekanik yang kurang keyakinan diri. Nak tak nak, hadap sahajalah segala kerenah. “Kau pernah buat modifikasi ini?” tanya rakan sekerja aku itu. “Tidak,” jawab aku jujur. “Jadi apa perlu kita buat?” tanya dia lagi. “Ikut sahajalah SB tu,” kata aku. “Agak-agak susahkah?” Dey! Berapa banyak soalan ni? Sama-samalah buat. Kau buat sebelah kanan aku buat sebelah kiri. Ikut sahaja turutan yang telah diberikan. Tapi aku tidaklah jawab begitu. Nanti tidak fasal-fasal bergaduh pula. Masing-masing membawa peralatan yang diperlukan dan duduk di ruangan Avionics, tempat yang perlu dimodifikasi itu. “Kau tunggu sini. Aku nak pergi cari heat gun,” kata aku. Dan aku menyesal kemudiannya kerana secara sukarela mencari heat gun. Punya besar hangar, satu heat gun pun tiada. Aku membazirkan masa tiga jam menyelongkar setiap loker peralatan. Empat unit yang aku jumpa semuanya rosak. Aku kemudian menuju ke stor untuk meminjam heat gun. “Heat gun,” pinta aku setelah tiba giliran aku yang sepatutnya lima minit tadi tetapi terpaksa kebelakang apabila datang seorang yang tidak reti beratur memintas aku. Haram jadah! “Auto loker,” jawab penjaga stor sambil menjengil aku. “Rosak. Semua rosak,” balas aku. “Rosak? OK isi borang lapor kerosakan,” cadang dia. “Oi! Bukan aku yang rosakkan. Memang benda tu dah ada status rosak!” balas aku tidak puas hati. “Yalah, dah kau yang tahu rosak jadi kaulah yang kena buat laporan!” balas dia pula. Cis! Kuat betul putar belit dia orang ni. “Oh, kalau begitu, sekarang aku beritahu kau semua tu rosak, kau dah tahu jadi kau sahajalah buat laporan OK?” “Eh, eh, mana boleh, oi! Oi!” jerit dia memanggil aku yang makin mengundur dan meneleng kepala ke kiri ke kanan sambil menjelirkan lidah. Padan muka kau!