KUCHING: Seorang petani yang didakwa merogol cucu tirinya bulan lepas dalam kejadian di Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari sini, meninggal dunia di Hospital Sri Aman awal Jumaat, selepas dipercayai meminum racun makhluk perosak petang Khamis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata suspek berusia 54 tahun itu ditemui dalam keadaan separuh sedar dan mulutnya berbuih di sebuah pondok berhampiran sawah padi miliknya di Sembayang petang Khamis. Katanya, suspek ditemui oleh sepasukan JSJ Sri Aman yang ke rumah lelaki itu susulan laporan polis terhadapnya yang mendakwa dia merogol cucu tirinya dalam dua kejadian pada Ogos lalu. Beliau berkata, suspek kemudian digegaskan ke Hospital Sri Aman sebelum disahkan meninggal dunia pada 5 pagi Jumaat dan siasatan awal menunjukkan lelaki tersebut membunuh diri dengan meminum racun makhluk perosak. Dev Kumar berkata pada 21 September lalu, polis Sri Aman menerima laporan daripada hospital berhubung seorang pelajar berusia 14 tahun mengalami kecederaan pada bahagian belakang susulan cubaan membunuh diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan asrama sekolahnya. “Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa hamil lima minggu. Siasatan awal polis tidak dapat menentukan faktor yang mendorongnya mahu membunuh diri atau identiti bapa kepada bayi dalam kandungannya,” kata Dev Kumar. Bagaimanapun dalam temu bual dengan pegawai kerja sosial perubatan di hospital tiga hari lalu, mangsa mendedahkan yang dia dirogol oleh suspek sebanyak dua kali pada Ogos lepas. Pegawai berkenaan membuat laporan polis dan siasatan susulan polis mendapati mangsa dirogol buat kali pertama pada awal Ogos di sebuah pondok di ladang kelapa sawit manakala kejadian kedua berlaku di sebuah rumah panjang kira-kira seminggu kemudian, katanya. - BERNAMA