PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Batu Tian Chua akan menjalani hukuman penjara selama sebulan seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen kerana tidak mematuhi arahan polis. Ini susulan langkah tidak diduga anggota parlimen itu yang menarik balik rayuan terakhirnya berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan hasrat Tian Chua untuk menarik balik rayuannya selaras dengan hak beliau menurut Perlembagaan Persekutuan. Mohtarudin berkata sabitan serta hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000 yang dijatuhkan terhadap Tian Chua oleh Mahkamah Sesyen dan dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, adalah selaras dengan undang-undang. Kegagalan Tian Chua, 54, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, mematuhi arahan polis merupakan satu kesalahan, katanya. Mohtarudin seterusnya membatalkan rayuan Tian Chua dan mengeluarkan waran komital terhadap anggota parlimen itu. Beliau memerintahkan Tian Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, menjalani hukuman penjara itu bermula Jumaat. Tian Chua yang berbaju biru dan berseluar hitam, dilihat tersenyum sepanjang prosiding mahkamah. Beliau kemudian dibawa keluar dari mahkamah oleh dua anggota polis selepas prosiding tamat sebelum dibawa ke Penjara Kajang pada tengah hari. Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014 kerana enggan mematuhi arahan DSP A. Rajagopal agar meninggalkan kawasan Pulapol di Jalan Semarak pada 2.30 petang, 29 April 2012, sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0. Mahkamah menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM1,000. Beliau membayar denda itu. Tian Chua membuat rayuan di Mahkamah Tinggi namun ditolak pada 30 November tahun lepas. Dalam prosiding pada Jumaat, seorang daripada peguamnya, N. Surendran, memberitahu mahkamah yang mereka (pasukan pembelaan) menerima arahan untuk tidak mewakili Tian Chua serta Tian Chua sendiri mahu membuat kenyataan di hadapan mahkamah. Selain Surendran, dua lagi peguam yang mewakili Tian Chua dalam kes itu ialah Latheefa Koya danShahid Adli Kamarudin. Tian Chua kemudian berdiri di dalam kandang dan membaca kenyataan yang sudah disediakan sebelum memberitahu mahkamah yang beliau menarik balik rayuannya. Pada masa sama beliau menekankan bahawa penerimaan hukuman penjara itu bukan satu pengakuan bersalah. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Noraini Mohd Nor. Selepas prosiding itu Latheefa Koya memberitahu pemberita bahawa Tian Chua akan menjadi penyandang anggota parlimen pertama yang dipenjarakan. Sementara itu, mengenai status Tian Chua sebagai Anggota Parlimen, Surendran berkata Tian Chua tidak akan hilang kelayakan serta boleh bertanding pada pilihan raya umum ke-14. Katanya seseorang anggota parlimen hanya hilang kelayakan jika wakil rakyat terbabit dipenjarakan lebih setahun atau denda lebih RM2,000 jika disabitkan. Tian Chua berkemungkinan dibebaskan menjelang akhir Oktober ini dan akan sempat menghadiri sesi persidangan Parlimen, katanya. - BERNAMA