KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diperintah membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari, 2008 dan menyebarkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' yang disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com. Hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan ketua umum PKR itu dan menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya. Ketua Pemuda Umno itu juga diperintah membayar kos kepada Anwar sebanyak RM60,000. Ketika membuat keputusan itu, Azizul berkata, ucapan fitnah diucapkan itu adalah serius dan membabitkan seorang ahli politik yang dikenali ramai. "Kenyataan itu juga dibuat pada majlis umum dan diterbit serta tersebar kepada orang ramai," katanya. Bagaimanapun Azizul berkata, elemen berniat jahat tidak berjaya dibuktikan. Sehubungan itu beliau menolak tuntutan ganti rugi teruk yang dipohon Anwar. Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak bagi pihak Khairy bagaimanapun memaklumkan pihaknya akan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu Isnin depan. Peguam J Leela, bertindak bagi pihak Anwar.Perbicaraan kes saman fitnah itu selesai selepas 12 saksi memberi keterangan bermula pada 19 September 2016. Bagaimanapun, Khairy selepas itu menfailkan permohonan untuk meminda pernyataan pembelaannya. Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebarkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com. Anwar mendakwa klip video itu mengandungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah diucapkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Februari 2008. Khairy, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat. - Sinar Online