suria

Banyak Kali Tangguh Hasrat

Zainuddin bersama Raizuamira ketika perkahwinan mereka. Foto Sinar Online

GUA MUSANG: Setelah beberapa kali menangguhkan hasrat balik ke kampung halaman, perjalanan pulang empat sekeluarga berakhir di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, setelah kereta dinaiki bertembung treler, pagi Jumaat.

Kemalangan itu mengorbankan pemandu kereta, Zainuddin Anuar, 30, beralamat di Sungai Besar, Selangor, isteri, Raizuamira Daud, 31, serta dua anak mereka, Nur Annisa Sofea, 2, dan Zayyan Nazreel Zainuddin, 13 hari.

Abang mangsa, Mohd Razuki Daud, 48, berkata, dia tidak mengetahui kepulangan adiknya, Raizuamira Daud, 31.

Katanya, dia hanya tahu mengenai perkara itu setelah dimaklumkan ahli keluarga dan terus bergegas ke Gua Musang.

“Kali terakhir mereka balik pada Hari Raya Aidilfitri lepas. Tak ada apa yang pelik. Dia berselera makan mungkin sebab masa itu tengah sarat mengandung.

"Sebelum dia bersalin, dia pernah beberapa kali beritahu nak balik tapi tak jadi. Saya juga sedih atas pemergian mereka sekeluarga kerana tak sempat lihat anak saudara saya yang baru, tapi saya reda,” katanya.

Kenderaan mangsa remuk akibat perlanggaran. Foto Sinar Online

Bapa saudara Allahyarham, Mat Deris Daud, 58, memberitahu, anak saudaranya yang bekerja sebagai penyelia kantin asrama Kolej Sepang itu seorang yang peramah.

“Kami jarang berjumpa dan kali terakhir saya lihatnya ketika hari raya. Memang saya terkejut dapat perkhabaran ini namun reda dengan ketentuan Allah.

“Allah sebaik-baik perancang. Mereka ‘diambil’ bersama di hari Jumaat,” katanya ditemui di perkarangan Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, kemalangan melibatkan sebuah treler muatan beras dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

"Treler berkenaan menghala ke Gua Musang, manakala kereta mangsa dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai. Tiba di tempat kejadian, treler berkenaan dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan mangsa diseret 70 meter dari lokasi kejadian. Pemandu dan bayi lelaki tercampak keluar dari kenderaan, manakala isteri dan anak perempuan tersepit dalam kereta dan mengalami kecederaan serius.

"Kesemua mayat dibawa ke HGM dan dituntut keluarga selepas proses bedah siasat,” katanya. - Sinar Online

Artikel Sebelum

CCTV Masjid Pun Nak Kebas?

Artikel Berikut

Suri Rumah Maut Ditikam

Artikel Lain