JAKARTA: Rakyat Malaysia yang datang ke Bali sama ada untuk bercuti atau urusan lain, diingatkan sekali lagi agar memaklumkannya kepada Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di pulau itu bagi memudahkan komunikasi berikutan gunung berapi Gunung Agung masih berstatus 'awas'. Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pada masa ini pihaknya dan Pejabat Konsul Kehormat sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di Bali terutamanya pelajar, ekspatriat dan pelancong. "Pihak kedutaan juga telah menyelaras dengan pelajar-pelajar Malaysia di Bali untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada Bernama. Sebelum ini, pihak konsulat telah menghubungi beberapa pelajar Malaysia yang berada di dalam zon bahaya iaitu dalam lingkungan 12 kilometer dari puncak gunung agar berpindah ke tempat selamat. Zahrain turut meminta nasihat serupa dikeluarkan oleh syarikat penerbangan Malaysia yang membawa rakyat Malaysia ke Bali. Rakyat Malaysia boleh mendaftarkan keberadaan mereka di Bali menerusi Facebook @embassymalaysiajakarta dan Twitter @myembjkt, atau menghubungi kedutaan besar di Jakarta menerusi talian +62215224947 atau +6281380813036 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]. Bagi yang berada di Bali pula boleh menghubungi Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Puri Kumara Sakti, Jalan Bentuyung, Ubud, Gianyar, 90571 Bali atau telefon +62361973182/ +6281237154050 atau e-mel [email protected]. Media tempatan pada Sabtu melaporkan setakat ini pihak berkuasa telah memindahkan lebih 200,000 penduduk dari kawasan zon bahaya sejak gunung berapi itu mula mengeluarkan asap tebal dan berlaku beberapa gempa kecil. Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi mengesahkan status Gunung Agung yang terletak di daerah Karangasem boleh meletus pada bila-bila masa dan rakaman satelit menunjukkan ada rekahan pada kawah gunung setinggi 3,031 meter dari aras laut tersebut. Gunung berapi tertinggi di Bali itu pernah meletus dan memuntahkan lahar pada September 1963 yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan memusnahkan ribuan rumah di kawasan sekitarnya. Sementara itu, Gabenor Bali, I Made Mangku Pastika dipetik meminta orang ramai tidak menyebarkan berita palsu kononnya gunung berapi itu telah meletus dan mengeluarkan lahar seperti yang disebarkan oleh media-media sosial. Sambil menegaskan gunung tersebut belum meletus, beliau berkata pihak berkuasa telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan orang ramai. "Jika Gunung Agung meletus, kesan maksimum letusan dan debu gunung berapi hanya dalam lingkungan 12 kilometer dan jangan bimbang, ia tidak mengancam pelancong serta kehidupan masyarakat di Bali," katanya. - Bernama