suria

Bukan Sengaja Tak Nak Bayar

Surat amaran pemotongan elektrik dan bil elektrik Sekolah Menengah Tahfiz Az Zuhdi bernilai RM16,682.60 yang tular di laman sosial. foto Sinar Online

IPOH: Bil dan surat amaran pemotongan eletrik Sekolah Menengah Tahfiz Az Zuhdi, Kampung Kepayang yang tular sebelum ini adalah benar.

Pengasasnya, Azri Suratman berkata, sekolah tersebut kini berdepan tunggakan RM15,000 hingga menyebabkan pemotongan.

Menurutnya, perkara tersebut berlaku disebabkan oleh faktor yang tak dapat dielakkan dan bukan disengajakan.

Katanya, seramai 76 pelajar yang belajar di sekolah berkenaan tidak dikenakan bayaran bulanan, sebaliknya hanya yuran kemasukan sekali sahaja sebanyak RM2,000 sepanjang pengajian.

Beliau berkata, pihak sekolah mengharapkan ibu bapa dapat membayar sekali gus yuran berkenaan namun pembayaran dilakukan secara ansuran hingga berlaku tunggakan.

“Kami tidak paksa ibu bapa memandangkan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan, mempunyai anak ramai dan golongan anak yatim tetapi selalu mengingatkan mereka untuk membayar.

“Masa mula-mula sekolah dibuka lima tahun lalu memang dikenakan yuran bulanan tetapi ada sebahagian ibu yang tidak mampu membayarnya, jadi jawatankuasa memutuskan tiada lagi yuran berkenaan," katanya.

Azri berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk membayar tunggakan berkenaan namun perlu mengambil kira beberapa faktor lain seperti elaun guru, kos pengangkutan pelajar, makanan dan bil-bil berkaitan.

Jelasnya, sekolah dengan empat bangunan setingkat yang dilengkapi empat pendingin hawa, kipas, peti ais dan peti sejuk beku itu memungkinkan jumlah bil elektriknya tinggi.

“Selalunya bil elektrik RM1,500 hingga RM2,000 sebulan malah sebelum ini pun jika tertunggak RM8,000 kita cuba bayar separuh daripadanya. Kemudian tunggakan jadi RM12,000 selepas pihak sekolah bayar RM8,000.

“Pemotongan juga pernah dibuat sebelum ini namun disambung semula pada hari sama tetapi pada kali ini pelajar terpaksa tunggu lima hari sebelum penyambungan dibuat pada Isnin depan,”katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya telah merujuk pada Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai masalah tersebut dan mereka diberikan masa seminggu untuk menjelaskan bayaran bagi bulan Oktober iaitu RM6,000.

Terdahulu, Sekolah Tahfiz Az-Zuhdi menjadi tular selepas salah seorang pengguna laman sosial memuat naik gambar surat amaran pemotongan dan bil elektrik sekolah berkenaan bernilai RM16,682.60.

Dalam masa sama, pengguna laman sosial itu turut mengajak orang ramai menghulurkan bantuan sebanyak RM10 seorang.

Azri berkata, gambar berkenaan pada awalnya dikirimkan kepada ibu bapa pelajar melalui kumpulan WhatsApp sebagai peringatan untuk menjelaskan tunggakan yuran.

Namun, katanya, ia tular sehingga memberi sedikit kesan kepada sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Azri berkata, sekolah tahfiz dilihat sebagai kelas kedua kerana masyarakat lebih melihat sekolah berbanding pelajar yang dilahirkan.

“Tak dinafikan kita buat banyak kerja termasuk mendidik, mengajar dan membina sahsiah segelintir mereka yang tiada harapan di luar.

“Namun, orang ramai selalu anggap usaha kami sebagai satu perniagaan hakikatnya pelajar di sini belajar secara percuma dan niat kami untuk membantu masyarakat serta orang susah,”katanya. - Sinar Online

bil elektrik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain