suria

Bunuh Jong-nam: Siti Aisyah, Doan Mengaku Tidak Bersalah

SHAH ALAM: Dua wanita warga asing pada Isnin mengaku tidak bersalah membunuh Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Warga Indonesia, Siti Aisyah dan Doan Thi Huang (Vietnam) membuat pengakuan mereka melalui jurubahasa di Mahkamah Tinggi di sini.

Pertuduhan bunuh dibacakan dalam bahasa Indonesia kepada Siti Aisyah, 25, yang memakai pakaian tradisional.

Selepas berbincang dengan jurubahasa, jurubahasa tersebut memberitahu dia mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan kemudian dibacakan dalam bahasa Vietnam kepada Doan, 29, yang memakai jumper berwarna biru.

Jurubahasanya juga memberitahu mahkamah bahawa dia mengaku tidak bersalah.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin menetapkan 23 hari bermula Isnin sehingga 30 November bagi perbicaraan kes.

Sebelum itu, Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini sekali lagi menjadi tumpuan pengamal media tempatan dan asing bagi mengikuti perbicaraan kes dua suspek wanita itu.

Lebih 100 warga media berkumpul sejak 6 pagi Isnin dengan terdapat sebilangan mereka berada di perkarangan mahkamah seawal 1.30 pagi.

Siti Aisyah dan Doan dituduh bersama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi 13 Februari lalu.

Kaunter untuk mendaftar masuk bagi pihak media membuat liputan di dalam bilik mahkamah mula dibuka pada pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi di perkarangan lobi kompleks mahkamah.

Dua meja pendaftaran berasingan disediakan bagi media tempatan serta media asing dan mereka dikehendaki menyerahkan telefon bimbit, kamera dan peranti rakaman kepada anggota polis yang bertugas selain terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan.

Pihak mahkamah hanya menyediakan 20 tempat duduk kepada media sementara jurugambar dan jurukamera tidak dibenarkan masuk ke kawasan lobi.

Kawalan di sekitar kompleks mahkamah diperketatkan dengan kehadiran ramai anggota polis.

Konvoi yang membawa Doan dan Siti Aisyah yang memakai jaket kalis peluru berwarna gelap tiba tepat pukul 8 pagi.

Kim Jong-nam

Artikel Sebelum

Tukar Nama FB Pula

Artikel Berikut

Murni ‘Wanita Besi’

Artikel Lain