KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan hanya 33 peratus atau 72 sekolah pondok dan tahfiz dari 226 yang diperiksa masih lagi tidak mematuhi peraturan kebakaran di seluruh negara. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Soiman Jahid berkata, melalui pemeriksaan dilakukan secara keseluruhannya 66 peratus telah mematuhi tahap keselamatan kebakaran dan memberi kerjasama yang baik. “Melalui pemeriksaan yang kita jalankan ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan sekolah-sekolah pondok dan tahfiz dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. “Kita akan lengkapkan laporan dan serahkah kepada Menteri Kesejahteraan Luar bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 19 Oktober nanti untuk dibentang di mesyuarat kabinet nanti,” katanya. Soiman berkata demikian selepas menghadiri majlis kempen keselamatan kebakaran sekolah-sekolah aliran Agama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan 2017 di Dewan Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji di sini, Selasa. Hadir sama, Pengarah Bomba Negeri Kelantan, Nazili Mahmood. Seramai 700 peserta termasuk pengusaha sekolah pondok dan pelajar menyertai seminar terbabit. Dalam perkembangan sama, beliau berkata laporan terbabit diharap dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan di pusat-pusat tahfiz dan sekolah pondok dan mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini. Soiman berkata, antara perkara ditekankan dalam laporan itu termasuk laluan keselamatan termasuk kawasan tangga, penggunakan bahan-bahan yang tidak mudah terbakar, penempatan pelajar termasuk keadaan katil, tahap penggunaan barangan elektrik dan aktiviti memasak yang sepatutnya tidak dijalankan dalam bangunan asrama. “Kita harap dapat menjalankan pemeriksaan seterusnya dan mensasarkan 1,000 sehingga 2,000 sekolah pondok dan tahfiz untuk tahun ini,” katanya. - Sinar Online