suria

Buru Penyu: Lelaki, Wanita Bajau Laut Ditahan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya etnik Bajau Laut, ditahan di Semporna hari ini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan haram memburu penyu.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Pulau Dinawan pagi tadi, manakala wanita lingkungan 30-an itu ditahan di Kampung Amboh-Amboh, Pulau Bum-Bum pada sebelah petang.

“Dijangka lebih banyak tangkapan dilakukan selepas ini.

“Beberapa suspek utama yang telah dikenal pasti dalam siasatan kes ini masih belum dapat ditahan kerana kesukaran untuk mengesan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tuuga berkata pencarian itu membabitkan anggota Polis Marin Semporna, Taman-Taman Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Seorang lelaki berusia 60 tahun ditahan berikutan penemuan bangkai dan ratusan rangka penyu berselerakan di pulau Bum-Bum yang tular minggu lepas.

Mengenai siasatan kes pembunuhan seekor gajah jantan yang bangkainya ditemui terapung di Sungai Kinabatangan pada 25 September, pengarah Jabatan Hidupan Liar itu berkata usaha menjejaki lokasi pembunuhan gajah itu masih diteruskan selepas individu yang pada awalnya dianggap suspek dalam kes itu, didapati tidak terlibat dengan pembunuhan gajah tersebut.

“Rumah suspek berkenaan digeledah pagi tadi, tetapi tidak menemui bukti yang mempunyai kaitan dengan gajah tersebut.

“Pencarian itu bagaimanapun menemukan sebahagian daripada spesies lain yang dilindungi, iaitu rusa sambar dan babi berjanggut,” katanya.

Dalam operasi yang turut membabitkan renjer Jabatan Hidupan Liar dan polis Kinabatangan itu, Tuuga berkata dua lelaki Indonesia ditahan bagi siasatan lanjut kerana memiliki secara haram, bahagian haiwan yang dilindungi.-- Bernama 


Bajau Laut, penyu

Artikel Sebelum

Artikel Lain