HUSSEIN Ghulam Kaiffe. Dia seorang pemuda Pakistan yang kurus tapi tidaklah sampai melidi. Hidung pula mancung, suara sedikit garau, setinggi aku dan orang pertama yang bercahaya mata dan tersenyum lebar seakan kagum apabila mengetahui nama aku Iqbal. Dia menjadi tempat aku menimba ilmu tentang sejarah Pakistan, India, Kashmir - yang menjadi punca persengketaan kedua-dua negara - dan Bangladesh. Kemudian kata-katanya itu dibenarkan oleh catatan di dalam buku Sejarah Dunia Dari Sudut Pandangan Islam tulisan Tamim Ansary. Selain itu, Hussein Ghulam Kaiffe juga tempat aku merujuk perihal konflik di timur tengah. Persengketaan Sunni - Syiah khususnya. Dan dia, satu-satunya manusia yang aku tengok kurang terpengaruh dengan hedonisme. Aku selalu mengusik dia. Kadang-kadang agak kasar juga tetapi dia selalu ketawa kecil. Tidak pernah mencarut. Sebaliknya akan mengenakan aku dengan ayat: "Muslim ke kau buat macam ni?" Aku menggelarkan Hussein Ghulam Kaiffe sebagai VIP. “Tu, VIP,” kata aku kepada Ronald, sambil menunjuk ke arah satu susuk kurus yang sedang berjalan. “Kaiffe?” tanya Ronald setelah mengenal susuk yang aku tunjukan. “Kenapa pula?” tanya dia lagi dengan berkerut dahi. “Very Important Pakistani,” jawab aku dengan muka serius. Berhambur gelak ketawa Ronald. Dia yang sedia rendah dan bulat, bila gelak begitu aku terbayang panda sedang ketawa setelah melihat pertunjukan magis. Pada suatu pagi, sedang aku mengunyah epal merah dan tenggelam dalam keasyikan bunyi ranggup buah itu dikunyah, Kaiffe menghampiri dan duduk di sebelah. Tangannya memegang telefon bimbit. Ditunjukannya skrin telefon bimbit itu kepada aku seraya bertanya: "Apa jawapannya?" Aku melihat skrin telefon bimbit tersebut. Tertera permainan PIQ, teka gambar. Diberi empat keping gambar, dan beberapa kotak kosong bersama beberapa abjad. Kita perlu teka apa perkataan yang merujuk kepada gambar tersebut. Ini bukan pertama kali dia merujuk kepada aku jika dia tidak mendapat jawapan. Selalunya aku tidak pernah mengecewakan dia. Kadang-kadang aku terfikir apa faedah dia main permainan ini jika hampir 80 peratus daripada keseluruhan masa itu, aku yang menjawab untuk dia. Aku mengunyah epal merah sambil mata tidak lepas dari memandang skrin telefon bimbit itu. Fikiran aku ligat menganalisis empat keping gambar itu. Setiap yang tertera seperti objek, warna dan huruf silih berganti di susun bertimpa-timpa. Seketika kemudian aku memberikan jawapannya dan dia memasukkan abjad-abjad yang terpilih bagi membentuk perkataan yang aku sebutkan tadi. Kemudian warna hijau pun keluar menandakan jawapan aku itu betul. Dia menepuk-nepuk bahuku sambil tersengih-sengih. "Kau memang bijak!" kata dia. Aku tersipu-sipu bagai kerang wangi. "Aku tahu, aku memang bijak dalam serba-serbi," kata aku. "Oh tak, tak. Hanya untuk permainan ini sahaja. Bidang lain kurang bijak," sangkal dia sambil bangun meninggalkan aku. Tanpa ucapan terima kasih, malah. *&^$% punya Pakistan!