suria

Nuan Nuan Balik Kampung

Gelagat comel anak 'Gaint Panda' Nuan Nuan mencuit hati pengunjung di Zoo Negara. - Bernama

KUALA LUMPUR: Nuan Nuan, anak panda gergasi betina yang dilahirkan di Malaysia, akan pulang ke China pada 14 November, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, anak panda gergasi itu akan dihantar terus ke Pengkalan Panda Dujiangyan  di Sichuan, China, oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) Kargo Sdn Bhd.

“Anak panda seberat 82kg itu kini menjalani latihan dengan dimasukkan ke dalam sangkar khas selama  beberapa jam sehari untuk membiasakan diri dengan ruang yang mengehadkan pergerakannya.

“Nuan Nuan akan dipisahkan daripada ibunya dan hanya akan dipertontonkan kepada umum semasa hujung minggu, cuti am dan cuti sekolah,” katanya ketika berucap pada majlis perpisahan bagi Nuan Nuan di  Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) di sini pada Khamis.

Wan Junaidi berkata sungguhpun keputusan untuk menghantar Nuan Nuan pulang ke China merupakan suatu keputusan yang sukar dibuat, terdapat kemungkinan negara ini akan menyaksikan anak panda gergasi kedua di masa depan.

“Nuan Nuan, bertepatan dengan namanya, membawa begitu banyak kegembiraan kepada semua rakyat Malaysia dan pengunjung sejak lebih 26 bulan lepas dengan kelincahannya dan sentiasa sihat,” katanya.

Beliau berkata orang ramai masih boleh mengunjungi Nuan Nuan diGPCC pada setiap hujung minggu dan cuti umum sehingga 12 November.

Nuan Nuan, yang bermaksud ‘mesra’, dilahirkan pada 18 Ogos di GPCC, 15 bulan selepas ketibaan ibu bapanya Xing Xing dan Liang Liang.

Xing Xing dan Liang Liang datang ke Malaysia pada 21 Mei 2014 bersempena ulang  tahun ke-40 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Pasangan panda itu akan berada di Malaysia bagi tempoh 10 tahun.

Dalam perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua negara pada 15 Jun  2012, mana-mana anak panda yang dilahirkan di Malaysia perlu dihantar pulang ke China sebaik sahaja anak panda itu mencapai umur dua tahun. – Bernama

panda, Nuan Nuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jamal Yunos, 7 Lagi Ditahan

Artikel Lain