suria

Peluk Islam Kerana Azan

Muhamad Shahriman (berdiri, kiri) ketika menyertai gotong-royong membersihkan masjid bersama jawatankuasa Masjid Rhu Rendang. - Sinar Harian

MARANG: Seorang pemuda berbangsa Cina sanggup melepaskan kehidupan gelapnya untuk mendalami Islam selepas mendapat hidayah melalui azan yang didengarinya ketika bekerja sebagai pengutip hutang.

Muhamad Shahriman Abdullah, 28, berkata, setahun sebelum itu semasa dia belajar di sebuah institut kemahiran di Bangi, Selangor, jiwanya sentiasa tidak tenang kerana desakan hidup.

Bagaimanapun katanya, setiap kali mendengar azan berkumandang, jiwanya akan tersentuh sehingga dia sering bertanyakan kepada rakan beragama Islam mengenai maksud laungan azan tersebut.

“Saya tanya kawan apa maksud azan. Kenapa perlu azan dan pelbagai soalan lagi saya lemparkan. Pernah juga dihalau sebab cuba masuk ke surau.

“Melalui jawapan diperoleh dan buku-buku agama yang dibaca, saya akhirnya faham sedikit mengenai maksudnya. Tapi tidaklah sampai ke tahap untuk memeluk Islam,” katanya.

Menurutnya yang mengalami kecacatan di tangan kanan sejak lahir, semua semakin jelas ketika dia bekerja sebagai pengutip hutang di negeri berkenaan pada penghujung 2013.

Katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, bagi menampung perbelanjaan dan hutang ditanggungnya, dia turut bekerja secara sambilan di kelab malam.

"Saya berhenti jadi pengutip hutang susulan satu kejadian di sebuah rumah. Masa tu waktu Maghrib, saya paksa pelanggan bayar wang dipinjam, tapi dia tak mampu. Wanita tu yang berada dalam ketakutan merayu agar tidak diapa-apakan. Saya yang hilang pertimbangan terus berlaku kasar padanya sampai dia menjerit sebut Allahuakbar berulang kali disusuli laungan azan dari surau berdekatan.

“Badan saya masa tu terus menggigil tanpa sebab, tapi saya faham maksud azan yang berkumandang. Saya juga hairan kenapa kemarahan saya reda dan sedar saya dah melampaui batas. Akhirnya saya nekad berhenti kerja termasuk di kelab malam untuk beri perhatian pada kerja lebih baik sebelum memeluk Islam pada 29 September 2014 dan berkahwin dengan orang Kemaman,” katanya.

Muhamad Shahriman berkata, dia dan isterinya, Samsu Yanti Rozali, 30, kemudian menyara hidup dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual burger dan ayam goreng di Kampung Rhu Rendang.

“Itu kisah sebelum saya memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, cara menghargai Islam itu adalah lebih penting melalui amalan dan perintah yang disyariatkan. Isteri saya juga banyak membantu.

“Sebab itu saya perlu hidup berpegang pada Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Tak kisah sama ada kita keturunan Islam atau baru memeluk Islam. Nasib saya juga baik sebab jawatankuasa Masjid Rhu Rendang sentiasa membantu,” katanya. - Sinar Harian

peluk Islam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain