suria

Pemandu Lori Balak Rentung

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori balak maut selepas kenderaannya melanggar sebuah treler sebelum terbakar dalam kejadian di Km 302.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian  pada 4.35  pagi itu, mangsa yang memandu sendirian, dipercayai tidak sempat membrek apabila treler membawa muatan kayu getah dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Nilai  tersebut menukar laluan dari lorong paling kiri ke laluannya secara tiba-tiba menyebabkan lorinya melanggar belakang treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Dzaffir Mohd Yussof berkata akibat pelanggaran, pemandu yang belum dikenal pasti identitinya tersepit dan rentung apabila lori membawa muatan balak itu terbakar kemudian.

"Mayat pemandu lori berkenaan dibawa ke Hospital Serdang dan polis mengklasifikasi kes ini disiasat dibawah  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

Dzaffir berkata pemandu dan kelindan treler bermuatan kayu getah yang kedua-duanya berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia berkata kemalangan tersebut menyebabkan pihaknya mengaktifkan laluan kontra berikutan kesesakan lebih lapan kilometer di kedua-dua arah lebuh raya mulai 8 pagi Sabtu.

"Ketika ini trafik dari arah selatan dan utara masih bergerak perlahan sejauh lapan kilometer dan telah membuka laluan kontra di lorong kiri," katanya. - BERNAMA

rentung, pemandu lori

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain