KUALA LUMPUR: Reman seorang jurulatih disambung lima hari lagi bagi membantu siasatan kes atlet penerjun wanita mendakwa diperkosa di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, 26 September lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Rusdi Md Isa, berkata, jurulatih itu direman sehingga Rabu depan. “Tambahan tempoh reman ini bagi membolehkan kita jalankan siasatan dengan terperinci. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa dikatakan sedang berehat di tepi kolam di kompleks sukan terbabit. Mangsa kemudiannya diarahkan ke 'dry gym' untuk mengambil kerusi dengan ditemani seorang jurulatih untuk membantunya. Bagaimanapun dalam ‘dry gym’ itu, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk menemaninya sebelum dia dipeluk. Mangsa menolak namun suspek bertindak di luar kawalan apabila menariknya ke dalam tandas. Dikatakan, atlet itu diperkosa dan diugut supaya tidak memberitahu kejadian terbabit kepada sesiapa. Susulan kejadian itu, mangsa dan keluarganya membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, di sini. - Sinar Online