SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu gaji minimum yang diperkenalkan pada tahun 2012 dinaikkan kepada RM1,800 dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat. Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan dasar baharu itu apabila membentangkan Bajet 2018 akhir bulan ini. Solomon berkata, dasar gaji minimum RM1,800 seharusnya selari dengan aspirasi kepimpinan Perdana Menteri yang mahu melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi. "Selari dengan aspirasi Perdana Menteri menjadikan rakyat Malaysia masyarakat berpendapatan tinggi, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan dasar gaji minimum. "Tetapi kadar pada hari ini tidak memadai untuk pekerja khususnya rakyat Malaysia merasai kehidupan yang berkualiti," kata beliau. Katanya, MTUC mahu gaji minimum semasa dinaikkan sebanyak 50 dollar Amerika (RM200) seminggu atau 200 dollar Amerika (RM800) sebulan di mana ia akan membawa kepada gaji minimum yang dicadangkan RM1,800. Selepas mengambil kira analisis ekonomi kesatuan-kesatuan sekerja di peringkat global juga memutuskan negara-negara membangun dan sedang membangun seharusnya memberi tambahan 50 dollar Amerika seminggu untuk membawa kadar gaji minimum sehingga RM1,800. "Maklumat yang dikumpulkan MTUC sejak kebelakangan ini menunjukkan kos hidup di negara kita telah meningkat dengan kadar yang tinggi. Ini realiti pada hari ini," kata beliau. Oleh itu kata Solomon, MTUC mahu kadar RM1,800 diperkenalkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. - Sinar Harian