JIKA ada kemahuan, apa cara sekalipun pasti membuahkan hasil.
Itulah yang dilakukan seorang guru, Ramli Ahmad Rozali, 49, apabila mula petah berbahasa Tamil sejak usia 11 tahun lagi.
Tanpa perlu mendapatkan sebarang kursus atau menghadiri kelas bahasa, anak sulung daripada lima beradik ini hanya mempelajari bahasa itu melalui perbualan dengan rakan-rakan.
Menurutnya, kehidupan bermasyarakat tanpa sempadan bangsa dan agama di Kuarters Kerajaan Greentown, Ipoh sekitar tahun 70-an dahulu menjadi titik permulaan yang memperkenalkannya kepada bahasa Tamil.
Mengimbau kembali kenangan itu, Ramli tak semena-mena teringatkan kepada rakan sepermainannya iaitu Arasu, Thambi, Lawreen, Jude dan Moon.
“Bila dengar rakan India berbual bahasa Tamil, saya jadi geram kerana tak faham.
“Ada kalanya saya cuba menyampuk ketika mereka berbual. Walaupun tak faham, saya tetap duduk dekat dan dengar biji butir yang dibualkan.
“Makin lama saya mula suka dengar dan sudah boleh tangkap beberapa perkataan yang selalu mereka gunakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia memberanikan diri bercakap dan mengajuk setiap perkataan yang diketahui kerana pada ketika itu kebanyakan kawan-kawannya berbangsa India.
“Mula-mula mereka ketawakan saya bila ada sebutan yang tak betul tapi lama-lama mereka pula jadi cikgu, sekali gus beri tunjuk ajar apa sebutan yang betul dan salah,” katanya.
Belajar dengan kawan baru dikenali
Pengalaman bertutur dan menggunakan bahasa Tamil itu dibawa hingga ke peringkat sekolah menengah dan alam kerjaya.
Katanya, meskipun jauh daripada rakan sepermainan, namun dia tak pernah melupakan keinginan untuk menguasai bahasa itu dan sentiasa cuba mempelajari perkataan baharu melalui rakan yang baru dikenali.
“Makin lama saya dah boleh kuasai banyak perkataan, sampai la sekarang.
Walaupun tidaklah sampai ke tahap pro.
“Tapi kalau dalam ada dua orang India berbual, saya boleh tahu apa yang mereka sembangkan,” katanya.
Menurutnya, pernah terjadi suatu ketika dulu ketika dia menjadi guru disiplin pada tahun 1997, seorang daripada pelajar perempuan yang ditangkap atas kesalahan disiplin cuba berpakat menipu dengan teman lelakinya.
“Mereka berdua berbual dalam bahasa Tamil untuk mengaku sebagai ahli keluarga. Nasiblah saya tahu apa yang dibualkan, jadi saya marah balik mereka dalam bahasa Tamil.
“Reaksi mereka pada waktu itu sangat terkejut. Dari situlah pecah tembelang saya. Ramai yang dah tahu saya boleh faham dan bertutur dalam bahasa Tamil,” katanya.
Rasa lebih mesra dengan bangsa lain
Ramli yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Pengurusan Kokurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh menganggap kebolehan menguasai selain bahasa Melayu membuatkannya merasa lebih mesra dengan masyarakat bangsa lain.