suria

Mid Valley Kembali Dibuka Kepada Orang Ramai

Kebakaran berlaku di sebuah kedai serbaneka yang terletak di aras bawah premis tersebut. Foto Facebook.

PETALING JAYA: Pusat membeli-belah Mid Valley Megamall kembali beroperasi seperti biasa selepas orang ramai diminta mengosongkan premis tersebut susulan berlakunya kebakaran kecil, malam Sabtu.

Kebakaran kecil dipercayai berlaku di sebuah kedai serbaneka yang terletak di aras bawah bangunan itu.

Jurucakap pusat membeli-belah itu berkata, premis itu sudah disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 8.15 malam Sabtu.

"Pusat membeli-belah ini dibuka seperti biasa hari ini.

“Kami memohon maaf di atas kebimbangan yang dirasai pelanggan kami dan keselamatan pelanggan  dan pengunjung masih merupakan keutamaan kami,” katanya.

Menurutnya, pengendali premis itu menerima laporan kebakaran kira-kira pukul 7.05 malam dan menghubungi jabatan bomba dengan segera selain mengerahkan pasukan kecemasan mereka ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba tiba kira-kira pukul 7.17 malam dan dengan bantuan mereka kebakaran berjaya dipadamkan.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan juga pasukan polis di atas respons segera dan bantuan mereka di dalam kejadian itu," kata jurucakap itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata kebakaran itu menyebabkan kerosakan sebanyak 40 peratus pada kedai serbaneka tersebut.

Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Mid Valley, kebakaran

Artikel Sebelum

Awas Racun Bernyawa

Artikel Lain