KUCHING: Pakaian tradisional masyarakat Iban yang jarang ditemui berusia hampir satu abad kini dipamerkan di Muzium Tekstil di sini. Dikenali sebagai baju ujan, pakaian itu adalah peninggalan pusaka keluarga milik Sandin Bennidect dari Bintulu. Ia dipinjamkan kepada Jabatan Muzium Sarawak untuk pameran 'Beads: Diversity in Usage.' "Ia hasil tangan nenek moyang saya pada 1920 dan diturunkan kepada keluarga sejak bertahun-tahun lamanya. Kebanyakan manik pada pakaian itu sudah lama dan mudah pecah. Ada yang sudah pecah jadi saya gantikan dengan yang baru. "Pada masa lalu, manik-manik ini amat mahal jadi mereka yang mempunyai pakaian ini dianggap berkelas tinggi. Secara tradisinya, kostum ini dipakai gadis Iban untuk perayaan besar seperti majlis perkahwinan," katanya. Ia akan dipakai bersama dengan dujung marik yang diletakkan di kepala. Sandin, seorang juruteknik kanan di Malaysia LND Sdn Bhd berkata minat terhadap pakaian tradisional itu semakin meningkat selepas bertukar-tukar pendapat menerusi Facebook kira-kira lima tahun lalu. "Kami akan menyimpan kostum itu di rumah tapi sekarang kami membawanya ke pameran supaya lebih ramai mengenalinya," kata Sandin. Sandin berkata beliau akan menghasilkan kostum dengan rekaan yang sama menggunakan manik kontemporari untuk dipakai semasa upacara seperti pekit kumang (ratu cantik). "Saya mengambil masa selama beberapa bulan untuk menyiapkannya. Bagi saya, amat penting untuk kita mengekalkan tradisi atau ia akan lenyap begitu sahaja," katanya. Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Ipoh Datan berkata pameran itu mengetengahkan pelbagai koleksi manik termasuk perkakasan di kepala, rantai dan juga bakul. Pameran akan berlangsung sehingga 31 Oktober ini.