KOTA KINABALU: Perintah tahanan reman Ketua Pemuda Parti Warisan Sabah Datuk Mohd Azis Jamman dan dua ketua pemuda Umno bahagian berhubung kes penyelewengan dana awam di Sabah dilanjutkan tiga hari lagi. Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohd Aizat Abdul Rahim membenarkan permohonan lanjutan reman SPRM terhadap Mohd Azis dan Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim sehingga 17 Oktober ini. Mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini kira-kira pukul 10 pagi. Mohd Azis diwakili peguam Martin Tommy, Loretto J Padua, Cedric Choo, Norazmi Alimat, Jaikol Situn dan Darell Leiking. Jamawi pula diwakili peguam Arthur Bonnie, Shahlan Jufri, Mohd Azhier A Farhan Arifin, Jafar Esteben dan Razali Razi, manakala peguam Hamid Ismail mewakili Ariffin. Sementara itu, ahli perniagaan berumur 52 tahun yang sebelum ini disambung reman empat hari sejak Rabu lalu, dibebaskan pada Sabtu dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000, dengan deposit RM100,000. Ahli perniagaan itu ditahan bersama Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony pada 5 Oktober lalu sebelum kedua-duanya direman lima hari sehingga Selasa lalu. Peter dibebaskan pada Jumaat di Hospital Pakar Damai di sini dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 selepas tempoh lanjutan tahanan reman tiga hari terhadapnya berakhir.